Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan intervensi awal bagi membantu 541 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd yang bakal diberhentikan, termasuk melalui perlindungan pendapatan, pemadanan pekerjaan dan latihan kemahiran.
Pastikan pekerja terkesan diberi sokongan sewajarnya
Memetik laporan daripada BERNAMA, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dalam satu kenyataan memaklumkan pendekatan “daripada kehilangan pekerjaan kepada pekerjaan baharu” dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan pekerja terjejas tidak berdepan tempoh pengangguran yang panjang.
“KESUMA akan memastikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan diberikan sokongan sewajarnya dan tidak dibiarkan berdepan tempoh peralihan ini tanpa bantuan.
“Melalui PERKESO, intervensi akan digerakkan seawal mungkin bagi membantu mereka mendapatkan perlindungan pendapatan serta kembali ke pasaran pekerjaan,” katanya.
Ramanan menyatakan, JTKSM melalui Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Subang Jaya telah menerima Borang Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja daripada syarikat pada 23 dan 27 Julai lalu sebelum menjalankan siasatan pada 27 Julai.
Hasil siasatan mendapati 541 pekerja terdiri daripada 415 pekerja tempatan dan 126 pekerja asing terlibat dalam pemberhentian yang akan dilaksanakan secara dua peringkat pada 31 Oktober 2026 dan 31 Mac 2027.

Pihak syarikat komitmen selesaikan bayaran
Menurutnya, pihak syarikat turut memberikan komitmen untuk menyelesaikan bayaran yang layak diterima pekerja termasuk gaji, gaji ganti notis, bayaran ganti cuti tahunan dan faedah penamatan kerja dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM64.38 juta.
“Sebagai tindakan susulan, PERKESO bersama JTKSM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Panasonic pada esok bagi menyelaras tindakan berkaitan perlindungan pekerja, kelayakan faedah dan intervensi penempatan pekerjaan.
“Antara bantuan yang akan disediakan khidmat nasihat dan bantuan permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kepada pekerja yang memenuhi syarat kelayakan sebagai sokongan pendapatan sementara sepanjang tempoh peralihan pekerjaan,” katanya.

Ramanan berkata PERKESO akan memulakan pemprofilan pekerja bagi mengenal pasti keperluan individu sebelum menyediakan bantuan tuntutan faedah di bawah SIP, kaunseling kerjaya serta padanan pekerjaan menerusi MYFutureJobs.
Program temu duga bersama majikan yang mempunyai kekosongan turut akan diadakan, manakala pekerja yang memerlukan penyesuaian kemahiran akan ditawarkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran.
Dalam pada itu, JTKSM akan terus memantau pelaksanaan pemberhentian pekerja serta pembayaran faedah mengikut peruntukan undang-undang, termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya syarikat gagal memenuhi tanggungjawabnya.
Sebelum ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd menerusi kenyataan mengumumkan penutupan operasi pengeluaran dua produknya yang dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja menjelang akhir Mac tahun depan.
