Ciccone didenda lempar cermin mata

Ciccone didenda lempar cermin mata


Reuters

Rom: Pelumba Itali Giulio Ciccone meraih kemenangan peringkat pertamanya dalam hampir dua tahun di Tour of the Alps, namun dikenakan denda selepas melemparkan cermin mata hitam ke arah penonton.

Ciccone dari pasukan Lidl-trek memecut ke garisan penamat dalam peringkat pembukaan semalam dan kerana terlalu gembira dengan kejayaan pertamanya itu, dia melontar cermin matanya sebaik sahaja melintasi garisan di San Lorenzo Dorsino.

Dia pernah meraikan kemenangan dengan cara sama sebelum ini, termasuk ketika menang di Giro d’Italia, namun ini kali pertama dia dikenakan tindakan di bawah peraturan yang diperkenalkan pada 2021 mengenai membuang objek secara cuai atau berbahaya.

“Bagi saya, ianya sesuatu yang saya tidak mahu kata mengarut, tapi saya terima denda itu,” kata Ciccone.

“Susah nak komen sebab peraturan sentiasa berubah setiap tahun, jadi kesilapan saya ialah tidak membaca peraturan dan sekarang saya sudah tahu.”

Kegembiraan Ciccone menyebabkan dia didenda 250 Franc Swiss (RM1,350) dan ditolak 15 mata ranking UCI, namun dia masih belum pasti sama ada akan mengubah gaya sambutannya jika menang lagi.

“Susah nak cakap sebab pelik apabila kita di denda walaupun menang perlumbaan,” kata Ciccone.

“Saya tak setuju sebenarnya, tapi beginilah keadaannya, kita tak boleh buat apa-apa.”

Ciccone kemudiannya menamatkan peringkat kedua di tempat kelima dan kini berada di kedudukan ketiga dalam klasifikasi umum. Perlumbaan lima peringkat ini akan berakhir pada Jumaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top