Perluas inisiatif cabutan bertuah

Perluas inisiatif cabutan bertuah


INISIATIF Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan cabutan bertuah buat pemegang tiket final Piala Malaysia 2025 di Bukit Jalil pada Sabtu wajar dipuji.

Malah penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa melihat langkah tersebut perlu diperluaskan kepada perlawanan-perlawanan lain termasuk Liga Super dan Piala FA.

Kata beliau, ia bagi menarik lebih ramai penonton ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.

“Purata kunjungan penonton ke stadium sekitar 2,000 hingga 3,000 orang. Jumlah tersebut dilihat kurang memberangsangkan dan sesuatu perlu dilakukan pada musim depan.

“Inisiatif ini diharap tidak berhenti di sini (final Piala Malaysia) sahaja, tetapi turut diperkenalkan pada perlawanan terpilih Liga Malaysia pada musim depan,” katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, inisiatif itu diharap dapat merancakkan lagi penjualan tiket.

Perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bakal menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang.

Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM berkata, status JDT sebagai jagoan bola sepak negara turut mempengaruhi kehadiran penonton ke stadium.

“Skuad Harimau Selatan sudah meletakkan satu aras yang tinggi dan sukar disaingi mana-mana pasukan.

“Para peminat sudah boleh menjangka keputusan perlawanan berdasarkan status JDT. Bukan mahu memperkecilkan mana-mana pasukan, tetapi itu yang berlaku,” katanya.

Beliau menambah, kekangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi turut mempengaruhi kesediaan mereka ke stadium.

“Kebanyakan penonton yang datang ke stadium dalam kalangan B-40. Mereka berjimat dalam berbelanja termasuk hiburan berupa sukan,” katanya.

Antara hadiah lumayan ditawarkan bagi pembelian tiket secara dalam talian ialah motosikal dan skuter elektrik, selain telefon dan jam pintar serta kamera 360 Insta.



Source link

OR

Scroll to Top