MASA depan Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan terus menjadi tanda tanya apabila kelab itu dikhabarkan bakal menamatkan operasinya.
Spekulasi itu semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong skuad The Bos Gaurus selepas satu perkongsian di media sosial oleh penjaga gol pasukan itu, Haziq Nadzli.
Dalam perkongsian di Instagramnya, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkongsi kenyataan daripada sebuah portal sukan yang mendakwa pihak pengurusan Perak FC menawarkan pembayaran hanya 20 peratus daripada tunggakan gaji selama enam bulan setengah kepada para pemain.
“Perak dah nak tutup! Hari ini dalam mesyuarat itu, Bos Roy yang sepatutnya hadir, tidak hadir dan hanya menghantar pengurus kewangan. Mereka hanya menawarkan kami 20 peratus daripada tunggakan gaji, dan selepas itu, tiada lagi bayaran. Perak dah habis, mereka cuba tutup atau jual,” memetik laporan portal berkenaan yang dikongsi Haziq.
Sebelum ini, pada 18 April lalu, media melaporkan Perak FC mengakui sedang berdepan kemelut tunggakan gaji yang semakin meruncing.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya sedang berusaha menyelesaikan tunggakan berkenaan.
OR