Serangan Israel pada Ahad bunuh 50 penduduk Gaza

Serangan Israel pada Ahad bunuh 50 penduduk Gaza


Gaza: Agensi pertahanan awam Gaza berkata, serangan Israel pada Ahad membunuh 50 orang di wilayah itu.

Israel menyambung semula kempen ketenteraannya di Gaza pada 18 Mac.

Perjanjian gencatan senjata yang sebahagian besarnya menghentikan pertempuran selama dua bulan, runtuh kerana perselisihan faham dengan Hamas, yang serangannya pada 2023 mencetuskan perang.

“50 orang mati syahid akibat serangan berterusan Israel di Gaza sejak Subuh,” kata pegawai pertahanan awam, Mohammed al-Mughayyir kepada AFP.

Mereka termasuk sembilan orang terbunuh dalam serangan ke atas sekumpulan orang awam di timur Gaza di utara wilayah itu.

Hospital di bandar selatan Khan Yunis berkata, ia menerima mayat tujuh orang yang terbunuh dalam serangan di sebuah rumah.

Hospital di al-Awda berkata, ia menerima empat mayat dan beberapa orang cedera akibat serangan ke atas sebuah kafe berhampiran pusat kem Bureij.

Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas pada Ahad meningkatkan jumlah kematian keseluruhannya kepada 52,243 orang sejak perang bermula, selepas ratusan orang yang hilang disahkan terkorban.

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 mengakibatkan kematian 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang juga menculik 251 orang, 58 daripadanya masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang dikatakan tentera Israel sudah mati.

Israel berkata, kempen ketenteraannya yang diperbaharui bertujuan untuk memaksa Hamas membebaskan baki tawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top