Salah rai kejayaan bersama isteri

Salah rai kejayaan bersama isteri


London: Mohamed Salah menyambung sambutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara sederhana apabila dia dilihat menikmati makan tengah hari bersama isterinya di sebuah restoran di Cheshire, semalam.

Penyerang Liverpool itu, yang menjaringkan satu lagi gol dalam kemenangan besar 5-1 ke atas Tottenham untuk memastikan kejuaraan EPL, meluangkan masa beberapa jam di restoran San Carlo di Alderley Edge.

Salah, 32, dan isterinya Magi, 31, adalah pasangan kekasih sejak kecil dan dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Makka yang lahir pada 2014 dan Kayan pula lahir pada 2020.

Cheshire adalah kawasan pilihan ramai pemain bola sepak ternama seperti dari Liverpool, Everton, Manchester City dan Manchester United untuk menetap.

Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold antara bintang bola sepak kaya raya yang tinggal di daerah berkenaan.

Van Dijk, Alexander-Arnold dan Salah kesemuanya berada dalam kesebelasan utama ketika Liverpool membelasah Spurs bagi mengesahkan kejuaraan.

Salah menjaringkan gol ke-33 musim ini, yang juga gol ke-28 dalam EPL sekali gus menjadikannya calon utama untuk menamatkan musim ini sebagai penjaring terbanyak liga dengan Alexander Isak dari Newcastle ketinggalan enam gol ketika hanya berbaki empat perlawanan.

Salah berkata bahawa kejayaan kali ini jauh lebih bermakna berbanding kejuaraan pada tahun 2020 kerana kehadiran penyokong di Anfield yang penuh sesak.

Liverpool sedang memburu kejuaraan lima tahun lalu apabila musim ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, dan ketika bersambung semula, perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penyokong sekali gus tidak berpeluang meraikan kejayaan memenangi kejuaraan liga bersama penyokong setia mereka.

“Ia luar biasa untuk menang kali ini bersama penyokong,” kata Salah kepada Sky Sports selepas mengalahkan Spurs.

“Ia 100 peratus lebih baik daripada kali terakhir, terutamanya dengan kehadiran penyokong. Kami ada kumpulan pemain yang berbeza sekarang, jadi apabila mampu melakukannya sekali lagi (juara liga) memang sesuatu yang istimewa,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top