KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu tunggakan gaji yang dihadapi beberapa pasukan saingan Liga Super 2024–2025 yang masih belum menemui jalan penyelesaian.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim, malah menyifatkan isu tersebut sebagai ‘barah’ yang perlu dimatikan menjelang saingan musim 2025–2026.
Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu lebih tegas dalam pemberian lesen kebangsaan kepada kelab, dan lanjutan tempoh sehingga 20 Mei ini sewajarnya dijadikan ruang untuk menyelesaikan isu agar pasukan yang berdepan masalah dapat terus beraksi dalam liga berkenaan.
Menurutnya, adalah sesuatu yang merugikan sekiranya isu ketidakstabilan dan kemampanan kelab bola sepak menyebabkan mereka tidak dapat beraksi, sedangkan setiap negeri atau kelab mempunyai peminat dan penyokong tersendiri.
Katanya, semua pihak yang terlibat dalam pembangunan kelab bola sepak perlu mencari jalan keluar kepada permasalahan kestabilan agar ekosistem Liga Malaysia (Liga-M) lebih kukuh, termasuk kelab-kelab memiliki kewangan yang baik untuk mengharungi musim dengan lancar.
Adam Adli ketika memberikan duit raya kepada kanak-kanak ketika Majlis Rumah Terbuka Adilfitri Terlajak Raya Parlimen Hang Tuah Jaya di Bukit Baru pada malam Rabu.
“Kita mahu supaya sukan bola sepak dalam negara kita, yang kita harapkan mampu melahirkan pemain profesional, dapat bergerak dengan kerangka yang lebih baik.
“FAM, MFL dan pihak-pihak berkaitan perlu lebih serius dalam menangani masalah ini dan tidak boleh lagi mengelak daripada membincangkannya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, perlu ada rasa tanggungjawab yang lebih tinggi dalam kalangan pengendali kelab dan persatuan bola sepak untuk tampil dan menyelesaikan isu-isu seperti tunggakan gaji.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa MFL memanjangkan tempoh lanjutan tarikh akhir bagi kelab-kelab Liga Super untuk melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab kebangsaan 2024–2025.
Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat susulan beberapa permohonan rasmi daripada kelab yang memohon tempoh tambahan bagi memuat naik dokumen dalam sistem Konfederasi Bolasepak Asia (AFC CLAS).