Fara Salleh rayu kerjasama Shuk Sahar, hadir ke mahkamah

Fara Salleh rayu kerjasama Shuk Sahar, hadir ke mahkamah


najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isteri kepada pelawak sensasi, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh berharap suaminya itu dapat memberikan kerjasama baik bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan mereka di mahkamah.

Fara ketika ditemui berkata, permohonan itu amat penting bagi memastikan anak dalam kandungannya itu dapat ‘berbintikan’ pelawak itu.

“Saya perlu membuat pengesahan pendaftaran terlebih dahulu kerana jika tidak, anak kami nanti tidak boleh dibintikan dengan Shuk.

“Jadi, saya perlu selesaikan hal ini terlebih dahulu sebelum menguruskan pengesahan lafaz cerai di mahkamah.

“Saya ada bukti lafaz cerai itu dan perlu ke mahkamah untuk mengesahkannya. Ketika diceraikan, saya dihubungi seorang ejen dari Satun, Thailand, yang memaklumkan suami saya mahu melafazkan cerai. “Namun, saya tidak menyangka dia akan menceraikan saya dengan cara begitu. Kalau betul dia matang, sepatutnya tahu adab dan tertib dalam soal perceraian. Dia sepatutnya berjumpa keluarga dan berbincang terlebih dahulu. Di situ saya rasa terkilan dan kesal,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka MStar Terbaek Raya di Rumah Agam, semalam.

Sebelum ini, Fara pernah memuat naik perkongsian di Instagram memaklumkan bahawa Shuk melafazkan cerai talak satu terhadapnya menerusi panggilan telefon.

Menurut Fara, lafaz cerai itu dilakukan di Thailand.

Susulan kejadian itu, Fara memaklumkan pihak mahkamah sebenarnya sudah menetapkan satu tarikh bagi proses pengesahan pendaftaran, namun Shuk tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan.

“Dia pernah tidak hadir sebelum ini dan keadaan itu melambatkan keseluruhan proses sehingga saya rugi masa lebih sebulan.

“Bagaimanapun, mahkamah menetapkan satu lagi tarikh untuk kami hadir. Saya sudah sampaikan maklumat itu kepadanya melalui orang tengah dan saya nyatakan dia hanya perlu hadir sekali sahaja. Cukup untuk urusan pendaftaran ini, selebihnya biarlah saya yang uruskan,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya yang sedang berbadan dua dan bakal melahirkan anak pertama Jun ini, Fara bersyukur mempunyai ahli keluarga yang sentiasa memberi kekuatan kepadanya.

“Alhamdulillah, saya sihat. Kandungan saya kini berusia tujuh bulan satu minggu. Bayi dalam kandungan berada dalam keadaan baik, cuma saya mudah semput memandangkan saya ada masalah jantung, lebih-lebih lagi apabila bayi semakin membesar.

“Pergerakan saya sekarang agak terhad dan perlahan. Dari segi emosi, ada kalanya saya rasa sedih dan tak boleh bersendirian, jadi saya sentiasa ditemani adik perempuan. Sekarang ini saya tinggal bersama ibu bapa saya. Mereka banyak membantu dan sentiasa berada di sisi,” katanya.

Fara turut menambah dia tidak terlalu banyak menangis walaupun berdepan situasi yang mencabar.

“Sejak awal kehamilan, saya cuma menangis dua atau tiga kali sahaja. Malah sejak insiden yang berlaku bulan ini, saya langsung tidak menangis lagi kerana sokongan daripada ibu bapa dan keluarga sangat kuat,” katanya.

Fara turut berkongsi beberapa rakan Shuk seperti Fizie dan Mamat Sepahtu, ada menghubunginya untuk bertanya khabar.

Mengulas lanjut, Fara berkata kemelut rumah tangganya bersama Shuk sebenarnya bermula sebelum mereka menunaikan ibadah umrah pada Ogos tahun lalu.

“Kami cuba perbaiki hubungan dengan mengerjakan umrah, muhasabah diri dan selepas pulang, saya disahkan hamil. Mungkin disebabkan perubahan emosi semasa kehamilan, hubungan kami mula menjadi semakin tegang.

“Satu perkara yang saya perasan, apabila dia berkawan dengan orang baharu, individu itu bukan perempuan, tapi rakan bisnes dia mula merancang pelbagai perniagaan tanpa membabitkan saya seperti sebelum ini.

“Dulu apa saja yang dia buat, saya tahu. Tapi bila dia berahsia dan bila saya tanya, dia kata saya tak perlu ambil tahu. Dari situlah konflik mula tercetus,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Shuk pada November 2023.

Untuk rekod, Shuk pernah berkahwin dengan Rossa Sera sebelum mereka bercerai pada 22 Mac 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top