Raphinha turut meledak jaringan buat Barcelona di Estadi Olímpic Lluís Companys. Foto Agensi
PERLAWANAN separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah antara Barcelona dan Inter Milan berakhir secara dramatik dengan keputusan seri 3–3 di Estadi Olímpic Lluís Companys pada Khamis.
Inter Milan membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Marcus Thuram yang mengejutkan penyokong tuan rumah dengan penyudah tepat menewaskan Wojciech Szczęsny.
Dominasi pelawat berterusan apabila Denzel Dumfries meledak gol kedua pada minit ke-21 apabila sentuhannya sekali lagi memerangkap Szczęsny dan meletakkan Inter di hadapan dengan selesa.
Namun, skuad kendalian Hansi Flick yang disokong padu oleh ‘pemain ke-12’ Blaugrana enggan mengalah.
Bintang muda, Lamine Yamal, menjadi pencetus kebangkitan apabila rembatan kemasnya dari dalam kotak penalti merapatkan jurang hanya tiga minit selepas gol kedua Inter.
Yamal hampir menyamakan kedudukan tidak lama kemudian, namun percubaannya sekadar menggegarkan tiang gol.
Usaha Barcelona akhirnya membuahkan hasil apabila Ferran Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-38 dengan penyudah klinikal menewaskan Yann Sommer.
Separuh masa kedua menyaksikan Nerazzurri kembali memimpin, sekali lagi menerusi Dumfries yang menanduk masuk sepakan sudut pada minit ke-64 untuk gol peribadinya yang kedua malam itu.
Namun, Barcelona tidak berputus asa. Raphinha menyelamatkan maruah tuan rumah apabila rembatan jauhnya terkena tiang sebelum bola melantun mengenai belakang badan Sommer dan bergolek masuk untuk menyamakan kedudukan.
Kedua-dua pasukan kini bersedia untuk pertembungan getir di San Siro minggu depan, dengan pemenang akan mara ke final di Munich menentang antara Arsenal atau Paris Saint-Germain.