Normalisasi maksiat wajib dinoktahkan

Normalisasi maksiat wajib dinoktahkan


RAMADAN dan Syawal baru sahaja pergi meninggalkan kita dengan pelbagai peristiwa suka dan duka.

Ketika berpuasa, suatu perasaan tenang hadir dalam diri selain rasa senang untuk melakukan ibadah, malah kebaikan yang dilakukan itu pula disebarluaskan kepada orang lain.

Bagaimanapun, ada peristiwa duka yang kita lihat dalam sebahagian masyarakat iaitu normalisasi dosa.

Normalisasi dosa bermaksud rasa berdosa dan bersalah tercabut ketika maksiat dilakukan, bahkan perbuatan keji tersebut dibanggakan pula.

“Apa yang lebih parah lagi ialah ada pula yang mengiktiraf perbuatan dosa sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia.

“Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita kini tidak lagi boleh ditegur atas alasan ini hal peribadi. Mendedahkan aurat dan pakaian yang menjolok mata bukan satu perkara asing lagi kini.

“Hanyut dalam aktiviti hedonisme yang melampau pula dianggap sebagai terapi,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat bertajuk Noktahkan normalisasi dosa, selepas khatib mengulangi pesanan takwa kepada jemaah.

Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu dibacakan khatib di seluruh Wilayah Persekutuan minggu lalu.

SEGERA bertaubat dan mengubah normalisasi maksiat kepada perbuatan yang bermanfaat dan berpahala. Foto Canva

Sambung khatib, bahkan menjadi satu kehairanan jika ada yang menegur kemungkaran ini selain disuruh pedulikan hal sendiri dan disindir pula.

“Inilah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat yang perlu kita sedar.

“Dosa dibungkus dengan alasan hak individu dan maksiat dihias atas label kebebasan.

“Lalu apa yang haram tidak lagi menggerunkan dan apa yang mungkar tidak lagi memalukan,” tegas khatib sedih dengan keadaan sebahagian masyarakat sekarang.

Oleh yang demikian katanya, sebagai seorang Muslim, bersegeralah mengingati ALLAH SWT apabila melakukan maksiat sebagaimana firman-NYA:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka. Dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).” (Surah Ali Imran: 135)

Menurut khatib, dosa tetap dosa dan ia tidak akan sama dengan pahala seperti sabda Nabi Muhammad SAW melalui Abu Hurairah RA: “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya ada perkara syubhah (samar) yang tidak diketahui orang ramai.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dosa tidak jadi budaya dalam sekelip mata

Ujarnya, maka jangan sesekali mengaburkan sempadan halal haram dengan hujah kebebasan atau normalisasi ini.

PENGGUNAAN internet tanpa had dan tapisan iman juga boleh menyebabkan kita terjerumus ke kancah maksiat. Foto Canva

PENGGUNAAN internet tanpa had dan tapisan iman juga boleh menyebabkan kita terjerumus ke kancah maksiat. Foto Canva

“Hakikatnya tidak ada dosa secara tiba-tiba menjadi budaya dan tiada maksiat yang sekelip mata menjadi biasa.

“Semuanya bermula sedikit demi sedikit. Dosa yang dahulunya secara sembunyi, kian dipromosi.

“Antara punca maksiat dinormalisasi ialah berulang kali melakukan dosa dan akhirnya ia terasa ringan,” ujar khatib.

Sambungnya lagi, apabila lisan biasa memaki hamun dan mata atau telinga sering melihat yang haram, lama-kelamaan akan tercabut rasa bersalah.

Bahkan kadangkala menimbulkan ketagihan pada dosa sehingga sukar ditinggalkan, ujarnya.

“Akhirnya apabila nasihat dipandang kolot dan teguran dianggap benci, maka muncullah masyarakat yang diam terhadap dosa.

“Dosa yang tidak ditegur itu akhirnya perlahan-lahan diterima,” katanya lagi.

Tegas khatib lagi, pelaku maksiat sebenarnya tahu hatinya merasa tidak tenang tetapi tetap melakukan perkara yang jelas haram dan dimurkai ALLAH SWT.

Basmi dengan normalisasi pahala

Ujar khatib, penyelesaian kepada normalisasi dosa hanyalah dapat dibasmi dengan normalisasi pahala.

“Biarlah trend yang tular itu merupakan perkara yang berpahala dan bermanfaat.

“Sebagai contohnya, fenomena Subuh macam Jumaat, membuktikan hati-hati manusia yang sangat cintakan Tuhannya.

“Dengan pendekatan berhikmah, semakin ramai yang memilih jalan hijrah dan kembali kepada fitrah,” katanya.

PERBANYAKKAN zikir, istiqamah ke masjid dan solat jemaah serta dampingi orang soleh dan hadiri majlis ilmu. Foto Canva

PERBANYAKKAN zikir, istiqamah ke masjid dan solat jemaah serta dampingi orang soleh dan hadiri majlis ilmu. Foto Canva

Mengakhiri khutbah, khatib merumuskan beberapa perkara untuk manfaat dan pengajaran bersama:

1 – Tanamkan rasa benci pada dosa, bukan pada pelakunya

Usah biarkan dosa berlarutan kerana bimbang akan menjadi budaya pada esok hari.

Hati ini sepatutnya membenci maksiat dan jangan biarkan ada sekelumit perasaan dosa ini sebagai suatu perkara yang biasa.

2 – Suburkan iman dengan amal soleh

Iman yang subur akan membezakan antara hak dan batil.

Perbanyakkan zikir, istiqamah ke masjid dan solat jemaah serta dampingi orang soleh dan hadiri majlis ilmu. Ajaklah seramai mungkin untuk menyibukkan diri dengan amal soleh.

3 – Berani menegur dengan hikmah

Amar makruf nahi mungkar bukan tugas agamawan semata.

Hijrahkan diri, bimbing keluarga dan orang sekeliling dengan hikmah dan bukannya marah serta dengan kasih dan bukannya menghukum.



Source link

OR

Scroll to Top