Aaron (kiri) dan Wooi Yik tekad tebus kecewa pada kejohanan akan datang. Foto AFP
TIADA istilah putus asa buat pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia apabila tekad untuk bangkit untuk melunas ‘dendam’ ke atas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada kejohanan akan datang.
Aaron yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik tumpas di tangan gandingan Jepun itu untuk bergelar naib juara Kumpulan C Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China Khamis lalu.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad badminton negara menempah laluan sukar yang akhirnya terpaksa akur tewas 0-3 kepada pasukan tuan dalam suku akhir.
“Mereka memiliki kekuatan mental yang hebat, sukar buat kami. Masih ada peluang untuk mengatasi mereka dalam saingan akan datang,” ujar Aaron.
Pasangan negara yang berstatus keempat dunia kalah 12-21, 22-20, 23-21, sekali gus melebarkan jurang kemenang gandingan nombor 17 dunia itu kepada 9-2.
Aaron menjelaskan bahawa berdasarkan permainan, mereka berpeluang untuk menang ke atas pasangan negara Matahari Terbit itu, namun ia tidak menjadi.
“Hoki-Kobayashi mungkin dapat keyakinan tinggi berdasarkan rekod yang baik ke atas kami,” katanya.
Sebagai rekod, Kobayashi baru sahaja kembali dari kecederaan lutut dan membuat kemunculan pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) bulan lalu.
Kejohanan di Ningbo itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran Asia pertama mereka.
“Kami telah memberikan segalanya dan mahu memperbaiki rekod ke atas mereka. Namun mereka berusaha lebih keras selain tuah tidak memihak kami.
“Apapun kami akan terus bekerja keras, taktikal pun sudah ada. Jumpa lagi nanti,” katanya.
Aaron-Wooi Yik dijadual meneruskan cabaran buat negara dalam saingan Terbuka Thailand bermula 13 hingga 18 Mei ini.