KBS ambil maklum isu bekas atlet hoki kurang siuman

KBS ambil maklum isu bekas atlet hoki kurang siuman


Laporan Sinar Harian berkaitan seorang lelaki kurang siuman yang didakwa sebagai bekas pemain hoki negara.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa siasatan terperinci perlu dijalankan terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca sebenar yang membawa kepada keadaan membimbangkan membabitkan seorang bekas pemain hoki negara yang tular baru-baru ini.

Mengulas laporan mengenai individu dipercayai kurang siuman yang dikenal pasti sebagai bekas atlet kebangsaan, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum situasi tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk menyelaras tindakan awal.

“Saya telah membaca kenyataan bahawa Persatuan Hoki Terengganu sudah tampil memberikan bantuan. Kita beri ruang kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab terlebih dahulu. Sekiranya ada keperluan tambahan, kementerian sedia membantu,” katanya.

Hannah turut menegaskan bahawa kebajikan atlet perlu diberi perhatian menyeluruh, bukan hanya di peringkat kebangsaan, tetapi juga di peringkat negeri.

“Badan seperti YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) memang berperanan membantu atlet kebangsaan, namun kerajaan negeri juga memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan atlet masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, isu kebajikan atlet perlu dilihat lebih holistik dengan mengambil kira faktor luar sukan termasuk pendidikan dan kesihatan mental.

“Kita tidak mahu atlet berhenti setakat dunia sukan sahaja. Ramai yang tinggalkan pendidikan demi bersukan, tetapi kita perlu tekankan pentingnya jaminan masa depan. Pendidikan tidak sepatutnya diketepikan.

“Bagi kes ini, kita tidak tahu latar belakang sebenar. Mungkin melibatkan faktor peribadi atau keluarga. Biarlah siasatan dijalankan dahulu secara menyeluruh,” katanya sambil menegaskan bahawa KBS akan sentiasa bersedia untuk membantu, khususnya jika melibatkan kesejahteraan mental atlet,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top