Tahap kesediaan kelab kunci kejayaan penswastaan Liga-M

Tahap kesediaan kelab kunci kejayaan penswastaan Liga-M


TAHAP kesediaan kelab-kelab Liga Super untuk mempraktikkan dasar penswastaan yang dilaksanakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) adalah kritikal dalam membentuk masa depan bola sepak negara yang lebih profesional dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, menyifatkan MFL sebagai pengendali liga telah menunjukkan kesungguhan tinggi dalam membantu kelab-kelab membina asas kukuh, terutama dari segi kewangan dan struktur pengurusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa kejayaan usaha penswastaan ini tidak hanya terletak pada bahu MFL semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemahuan tinggi setiap kelab untuk berubah demi memastikan kelangsungan masing-masing.

“Sejujurnya, MFL proaktif dan banyak membantu, tetapi akhirnya ia bergantung kepada kelab itu sendiri, sama ada mereka mahu berubah atau tidak.

“Saya melihat pelaksanaan penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai satu langkah positif dan penting untuk kemajuan bola sepak ke arah yang lebih profesional dan berdaya saing,” katanya.

Pada masa sama, Iswandi Ali menegaskan bahawa penswastaan penting untuk membina kelab yang lebih kukuh, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari aspek pentadbiran.

“Dengan sistem yang ada sekarang, kelab boleh lebih berdikari dari segi kewangan. Tetapi semua ini perlu datang daripada kesungguhan dalaman kelab itu sendiri dan perlu lebih kreatif,” ujarnya.

Sebagai rekod, The Cats di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak menamatkan saingan Liga Super dengan cemerlang di tangga keempat dengan 39 mata hasil 10 kemenangan, sembilan seri, dan lima kekalahan selepas mengharungi 24 perlawanan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak yang menyatakan penswastaan sebagai punca utama beberapa kelab Liga-M, terutamanya Liga Super, mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa gulung tikar.

Sementara itu, Iswandi Ali turut memuji usaha proaktif berterusan yang dimainkan MFL dalam memudahkan proses penswastaan, menerusi penganjuran bengkel, sesi libat urus dan penyediaan garis panduan bagi membantu kelab memahami serta mematuhi standard yang ditetapkan.

“Ya, MFL sangat membantu. Melalui bengkel dan sebagainya, mereka membuka ruang kepada kelab untuk memahami serta mematuhi standard yang ditetapkan,” jelasnya.

“Proses pelesenan kelab contohnya, memberi kami ‘tekanan positif’ untuk memperkemas struktur dalaman kelab,” katanya.

INFO

The Cats ditubuhkan pada tahun 2015 dengan nama asalnya, Kuching FA, sebagai wakil kepada komuniti bola sepak di bandar Kuching, Sarawak.

Kelab ini mula mencuri tumpuan apabila berjaya menjuarai Liga M3 pada tahun 2019, sekali gus melayakkan diri ke Liga Premier 2020.

Pada tahun 2020, selaras dengan usaha penswastaan liga, kelab ini dijenamakan semula sebagai Kuching City FC dan terus menunjukkan perkembangan positif dari segi pengurusan dan prestasi di atas padang.

Sejak itu, mereka menjadi antara kelab yang aktif dalam membangunkan struktur profesional serta memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan di Sarawak



Source link

OR

Scroll to Top