Alonso perlu buang strategi lama jika mahu Chelsea berjaya

Alonso perlu buang strategi lama jika mahu Chelsea berjaya


BEKAS pemain Manchester United, Gary Neville yakin Chelsea mampu bangkit sebagai pasukan yang disegani dalam tempoh singkat di bawah kendalian pengendali baharu, Xabi Alonso.

Alonso yang bakal mengambil alih tampuk kejurulatihan di Stamford Bridge pada Julai ini dengan kontrak empat tahun, dilihat sebagai penyelamat kepada kemelut yang melanda kelab London itu.

Menurut Neville, bekas pemain tengah Liverpool dan Real Madrid itu mempunyai tugas besar bagi merombak struktur pasukan, namun percaya kehadiran empat pemain baharu yang tepat mampu mengubah nasib The Blues.

“Chelsea kini terlalu kekurangan pengalaman dalam setiap bahagian. Mereka mempunyai pemain muda tetapi kekurangan kualiti kepimpinan di atas padang.

“Strategi kelab yang hanya mahu menandatangani pemain muda dengan kontrak jangka masa panjang adalah satu kesilapan besar. Mereka perlu mengubah model tersebut,” ujar legenda United itu.

Neville berpandangan, Alonso perlu segera memperkemaskan posisi penjaga gol, pertahanan tengah serta penyerang utama yang berpengalaman bagi mengimbangi kualiti sedia ada dalam pasukan.

“Alonso memerlukan seorang penjaga gol baharu, pertahanan tengah, dan seorang penyerang berkelas dunia yang mempunyai kekuatan fizikal. Mereka sudah mempunyai pemain tengah yang baik seperti Caicedo, Fernandez dan Lavia, jadi posisi itu sudah stabil.

“Jika mereka mampu mendapatkan empat pemain berpengalaman, saya percaya Chelsea boleh menjadi pasukan yang cukup disegani dalam tempoh yang sangat singkat,” tegasnya.

Prestasi Chelsea musim ini nyata mengecewakan apabila terperosok di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berbaki dua perlawanan, sekali gus berisiko tinggi terlepas slot ke kejohanan Eropah.

Kekecewaan penyokong bertambah parah apabila skuad itu gagal meraih sebarang trofi selepas tewas 0-1 kepada Manchester City pada perlawanan akhir Piala FA di Wembley.



Source link

OR

Scroll to Top