Abang Dr. Akmal Saleh calon Bersama di Bemban

Abang Dr. Akmal Saleh calon Bersama di Bemban


MELAKA: Abang kandung Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh diumumkan sebagai calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dr. Muhamad Solehin Saleh merupakan antara 15 calon yang diumumkan Bersama dalam majlis Pengumuman Calon Bersama bagi PRN Melaka di sini hari ini.

Pengumuman itu menyaksikan Dr. Muhamad Solehin membawa cabaran Bersama di Bemban, manakala adiknya, Dr. Muhamad Akmal ketika ini merupakan ADUN Merlimau dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Dr. Muhamad Solehin, 40, merupakan seorang doktor perubatan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran Umum daripada Universitas Sriwijaya, Indonesia.

Beliau memiliki klinik perubatan sendiri yang beroperasi sejak 2017 di Merlimau dan Muar.

Walaupun kerjaya utamanya dalam bidang perubatan, Dr. Muhamad Solehin tidak asing dengan dunia politik dan pernah aktif bersama Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum menyertai Bersama.

Ketika memperkenalkan calon berkenaan, pemimpin Bersama turut menyentuh hubungan kekeluargaan Dr. Muhamad Solehin dengan Dr. Muhamad Akmal yang memilih jalur politik berbeza.

“Walaupun fokus utama beliau adalah kerjaya sebagai seorang doktor perubatan, namun sebenarnya beliau tidak asing daripada dunia politik.

“Beliau merupakan abang kepada YB Akmal Saleh. Namun, beliau memilih jalur politik yang berbeza dan lebih segar,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum itu mengumumkan parti berkenaan akan bertanding di 15 kerusi DUN pada PRN Melaka.

“Kita akan bertanding di 15 kerusi DUN di Melaka.

“Di Melaka, untuk membentuk kerajaan majoritinya ialah 15. Jadi kalau korang semua undi kita menang 15, insya-Allah adalah Ketua Menteri Bersama dekat Melaka ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Rafizi berkata, calon-calon Bersama diumumkan lebih awal bagi membolehkan mereka terus turun ke lapangan dan memperkenalkan diri kepada pengundi sebelum DUN dibubarkan.

Katanya, langkah itu juga memberi ruang kepada setiap calon membina sokongan di kawasan masing-masing lebih awal, dengan kempen parti bermula serta-merta selepas pengumuman malam ini.

“Anggaplah bahawa kempen kita bermula malam ini dan buatlah kerja,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top