Angka korban gempa bumi Flores terus meningkat, bantuan digerakkan

Angka korban gempa bumi Flores terus meningkat, bantuan digerakkan


Jakarta: Angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores di Indonesia awal pagi Sabtu meningkat kepada 47 orang, dengan ratusan rumah dan kemudahan awam mengalami kerosakan.

Sementara pihak berkuasa menghantar bantuan ke kawasan terjejas di seluruh Wilayah Nusa Tenggara Timur.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton S. Panjaitan berkata kes kematian dilaporkan di enam daerah di wilayah berkenaan setakat 6.48 petang waktu tempatan.

Beliau berkata penilaian terbaharu menunjukkan 346 rumah rosak, merangkumi 157 rosak teruk, 41 rosak sederhana dan 148 rosak ringan, manakala kerosakan turut dilaporkan di 87 kemudahan pendidikan, 18 kemudahan kesihatan, lima tempat ibadat dan enam pejabat kerajaan.

“BNPB telah mula menghantar bantuan makanan dan bukan makanan ke kawasan terjejas termasuk 50,000 pakej bantuan seberat 275 tan menerusi pangkalan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) Halim Perdanakusuma di Jakarta, dengan 10,500 pakej telah tiba di pangkalan berkenaan setakat ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pasukan penyelamat sedang menggeledah bangunan yang rosak bagi mengesan penduduk yang mungkin terperangkap di dalamnya.

Manakala laporan media menyebut kira-kira 2,000 penduduk telah berpindah dari kawasan terjejas secara kendiri.

Kes kecederaan turut dilaporkan, namun tiada angka rasmi dikeluarkan setakat ini.

Gempa bumi berkenaan melanda pada 4.58 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak di laut kira-kira 30 kilometer dari Mbay, Daerah Nagekeo, pada kedalaman 15 kilometer, sekali gus mencetuskan amaran tsunami yang kemudiannya ditamatkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) pada 7.31 pagi selepas pemantauan paras laut tidak menunjukkan sebarang peningkatan selanjutnya yang ketara.

Sementara itu, Ketua Agensi Geologi Lana Saria memberi amaran berhubung kemungkinan berlaku bahaya susulan, termasuk tanah runtuh, keretakan tanah dan pencecairan berdasarkan penilaian awal, menurut laporan agensi berita Antara.

Beliau berkata laporan berhubung air yang keluar dari dalam tanah di kawasan Waekokak-Mbay di Daerah Nagekeo telah mendorong agensi itu untuk menyiasat kemungkinan berlaku pencecairan, sambil menegaskan bahawa dapatan awal berkenaan masih memerlukan pengesahan di lapangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top