Tiwikarma, K.O.I juara AJL40

Tiwikarma, K.O.I juara AJL40


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bukit Jalil: Lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I hasil ciptaan Zai Hamzah & Hemo Globin, Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam diumumkan juara Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Kemenangan ini membolehkan mereka membawa pulang hadiah utama RM100,000 beserta trofi.

Tempat kedua dimenangi lagu Tak Adil dendangan Aisha Retno ciptaan bersama Aisha Retno & Radi serta lirik Aisha Retno berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Manakala, lagu Lumangad Oku Dika nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Ryenald Guntabid meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM30,000 serta trofi.

Anugerah Vokal Terbaik pula dimenangi oleh Marsha Milan menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa yang berjaya membawa pulang RM12,000 beserta trofi.

Kategori Persembahan Terbaik yang turut membabitkan undian penonton menerusi portal Tonton dimenangi Aina Abdul menerusi lagu Kamu sekali gus meraih RM12,000 serta trofi.

Aina Abdul turut memenangi Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee dengan meraih RM50,000, trofi eksklusif dan kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.

Sejarah turut tercipta apabila Aina terpilih membawa nama Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026, dengan TV3 sebagai penyiar rasmi Malaysia bagi pertandingan terbabit.

10 lagu yang mara ke malam kemuncak AJL40 adalah Lumangad Oku Dika nyanyian Ryenald Guntabid ciptaan dan lirik Ryenald Guntabid, Kamu nyanyian Aina Abdul (lagu & lirik Aina Abdul), Cak Cak Cekuk nyanyian Wanie Kayrie (lagu & lirik Karim Karam, Shane Kennedy, Iqie Hugh Karim Karam, Shane Kennedy, Iqie Hugh), Kemana Ni nyanyian Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik (lagu & lirik Kmy Kmo, Luca Sickta, Salam) dan Tak Adil nyanyian Aisha Retno (lagu Aisha Retno & Radi, lirik Aisha Retno).

Turut bersaing Tangisan Seorang Pendosa nyanyian Marsha Milan (lagu Marsha Milan & lirik Hazama), Semacam Pandora nyanyian Hazama (lagu Hazama, Zimi, Genervie Kam & Ritz Metalasia & lirik Zel Hadauan), Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah (lagu & lirik Hael Husaini), Nurcinta nyanyian Amir Masdi (lagu & lirik Amir Masdi & Edry Abd. Halim) dan Tiwikarma nyanyian K.O.I (lagu Zai Hamzah & Hemo Globin, lirik Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam).

Komposer, penerbit dan pengarah muzik tersohor Aubrey Suwito menggalas peranan sebagai Pengarah Muzik AJL40.

Kemuncak AJL40 dinilai oleh barisan juri profesional terdiri daripada SM Muzaffar, Efry, AG Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim, Helen Yap dan Datuk Acis sebagai ketua juri.

AJL40 dengan tema Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia” dengan mesej “Love Your Legacy, Elevate Your Future,” menampilkan gandingan hos dua generasi iaitu Naz Rahman bersama Sissy Imann.

Manakala acara Karpet Merah dan Backstage pula dihoskan oleh gandingan Fizi Ali dan Fiza Frizzy, dengan kedua-duanya disiarkan secara langsung menerusi TikTok Melodi @MelodiTerhangat.

Selain siaran langsung di TV3, AJL40 juga disiarkan menerusi strim secara eksklusif di aplikasi Tonton atau www.tonton.com.my.

AJL40 dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) sebagai badan kebajikan pilihan dengan Shopee sebagai Rakan E-Commerce, Grab selaku Rakan E-Hailing Rasmi, Unifi sebagai Rakan Telekomunikasi dan Volvo sebagai Rakan Selamat

AJL40 turut diserikan dengan HotFM dan KoolFM sebagai rakan radio manakala OhBulan!, XTRA, dan SEISMIK sebagai rakan digital rasmi.

AJL40 menampilkan Datuk Francissca Peter (Sekadar Di Pinggiran), Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta), Haqiem Rusli (Jampi), Syamel dan Ernie Zakri (Isabella & Gemilang), Azlan (Lagu Untukmu) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Umairah (Cindai) menerusi segmen bekas juara-juara AJL sebagai pembuka tirai.

Selain itu, Daiyan Trisha (Jangan Lupa Jaga Dirimu) dan Nabila Razali (Warnai Pelangi) turut tampil sebelum segmen interlud yang disusuli gabungan dua figura ikonik, Amelina dan Ziana Zain bagi persembahan penutup.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top