DUA kelab dari Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC termasuk dalam senarai pasukan yang telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan 2025–2026, dengan tarikh tutup permohonan berakhir pada Sabtu.
Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, juga memaklumkan bahawa kesemua 13 kelab Liga Super turut melengkapkan proses permohonan masing-masing.
“Semua kelab Liga Super bersama dua kelab Liga A1 Semi-Pro, iaitu Melaka FC dan Imigresen FC, telah memuat naik dokumen permohonan Lesen Kebangsaan 2025–2026 mereka ke dalam Sistem Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh akhir,” katanya.
Menurut beliau, Unit Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini sedang menjalankan proses penelitian dan semakan ke atas dokumen yang diterima daripada semua pemohon.
“Sebanyak 387 dokumen dan entri berkaitan kriteria utama seperti aspek kewangan, perniagaan, pentadbiran dan sumber manusia, perundangan, teknikal, serta infrastruktur sedang diteliti secara menyeluruh oleh unit berkenaan,” jelasnya.
Tambah beliau, laporan lengkap hasil semakan itu akan dikemukakan kepada FIB bagi penilaian seterusnya.
“Mesyuarat FIB akan diadakan dalam masa terdekat untuk membuat keputusan akhir berhubung permohonan Lesen Kebangsaan tersebut.
“Keputusan rasmi akan diumumkan sebaik sahaja semua proses penilaian selesai,” katanya sambil menegaskan bahawa tiada lanjutan masa akan diberikan kepada mana-mana pasukan.
INFO
Senarai Kelab Pemohon Lesen Kebangsaan 2025–2026:
Liga Super:
1. Johor Darul Ta’zim FC
2. Selangor FC
3. Sabah FC
4. Kuching City FC
5. Terengganu FC
6. Kuala Lumpur City FC
7. Perak FC
8. Sri Pahang FC
9. PDRM FC
10. Penang FC
11. Kedah Darul Aman FC
12. Negeri Sembilan FC
13. Kelantan Darul Naim FC
Liga A1 Semi-Pro:
1. Melaka FC
2. Imigresen FC