Jangan ambil mudah berdepan Nepal

Jangan ambil mudah berdepan Nepal


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan regu sepak takraw negara ingin memulakan aksi pertama menentang Nepal dengan kemenangan untuk menaikkan moral pemain dan membina momentum pada saingan Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, esok.

Ketua pasukan regu negara, Farhan Adam berkata, dia dan rakan-rakan ketika ini dalam ‘mood’ terbaik dan segala persiapan sudah berada di tahap terakhir sebelum turun ke gelanggang.

Justeru, dia selaku pemain berpengalaman di dalam pasukan berharap agar tidak mengambil mudah perlawanan itu biarpun menyedari Nepal bukan lawan sebenar untuk wakil negara.

“Biarpun dua acara sedang berlangsung (beregu dan kuadran), latihan tetap dijalankan bagi memastikan prestasi tidak terjejas bagi menghadapi perlawanan pertama selain memperkemaskan taktikal yang jurulatih inginkan pada kejohanan ini.

“Bagi saya, kita akan memberi tumpuan kepada pasukan sendiri dan saya berharap rakan-rakan tidak ambil mudah lawan menentang Nepal untuk elak kesilapan yang tidak sepatutnya terjadi. Kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan sulung,” katanya.

Selain itu, Farhan yang beraksi di posisi pengumpan memaklumkan, dirinya mempunyai misi tersendiri pada kejohanan kali ini iaitu melengkapkan kejuaraan dalam kariernya.

Untuk makluman, skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu diundi dalam Kumpulan D bersama Nepal, Singapura dan Filipina. Malaysia dijangka tidak berdepan masalah besar untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top