IPOH: “Dia berulang kali menyalahkan dirinya. Dia rasa bertanggungjawab sebab dia yang memandu”.
Itu kekesalan yang diluahkan Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, selepas mengetahui sembilan rakan sekerjanya maut dalam nahas tragis di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.54 pagi itu, kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Menurut Nor Ain Ahmad Hesam, 36, suaminya yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan baru sahaja sedar semalam dan dia terdiam selepas mengetahui rakan-rakannya terkorban dalam kejadian itu.
Katanya, suaminya berasa bertanggungjawab dan dihimpit rasa bersalah kerana dia yang memandu kenderaan itu semasa kejadian.
“Baru semalam suami tahu rakan-rakannya telah tiada. Bila tahu, dia terdiam sekejap. Dia rasa bersalah dan ralat tapi saya pesan supaya jangan rasa bersalah.
“Semalam, dia buat panggilan video dengan Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) untuk minta maaf,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nor Ain, rakan-rakan sekerja suaminya memberi sokongan penuh kepada lelaki itu dan memberitahu agar tidak membebankan diri dengan rasa bersalah.
“Ramai rakan yang hubungi suami dan beri dia sokongan. Mereka tidak menyalahkan dia dan faham keadaan sebenar,” katanya.
Sementara itu, Nor Ain berkata, suaminya yang mengalami kecederaan di kepala dan beberapa tulang rusuk patah tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebelum kemalangan.
“Dia cuma ingat dia yang memandu, kalau minta dia ingat semula kejadian pun dia tak boleh buat. Dia buka mata dan sedar sudah berada di hospital.
“Alhamduillah, keadaannya semakin pulih. Dia pun sudah boleh berjalan sendiri untuk ke tandas,” katanya. – UTUSAN