'Ini ujian kami, mengerti nilai sebenar kemanusiaan' – Pengerusi Surau

'Ini ujian kami, mengerti nilai sebenar kemanusiaan' – Pengerusi Surau


am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Saya takut… tolong jangan halau saya.” Itu rayuan seorang wanita berketurunan India sambil mendukung bayinya yang ditemui dalam keadaan cemas dan kebingungan di belakang rumah Pengerusi Surau Madrasatul Huda, Lorong Nyior Setali, di sini, malam Khamis lalu.

Kejadian menyentuh hati berkenaan dikongsi oleh Shamsul Anuar Aziz, 44, menerusi akaun TikTok miliknya semalam hingga tular dan mendapat ribuan komen daripada netizen.

Shamsul Anuar menyifatkan pertemuan dengan wanita itu sebagai sesuatu yang menyedarkan diri erti nilai sebenar kemanusiaan, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

“Ketika kejadian jam 8.35 malam, kami baru selesai solat Maghrib. Saya duduk sekejap di luar surau dan nampak seorang wanita India dukung bayi lalu perlahan-lahan di hadapan surau.

“Cara dia jalan, wajah dia… nampak takut, macam orang dalam masalah, bayinya hanya berbalut tuala berwarna kuning sambil menggalas beg plastik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Shamsul Anuar berkata, dia menerima panggilan daripada sepupunya yang tinggal di belakang rumahnya, memberitahu ada seorang wanita bersama bayi bersembunyi di kawasan gelap berhampiran.

“Saya terus pergi tengok, bawa dua tiga orang jemaah. Bila sampai, saya nampak dia duduk berselubung, sembunyi belakang kereta. Tempat itu memang gelap. Bila saya tegur, dia macam nak lari.

“Ketika itu dia cakap perlahan, tolong jangan halau saya’. Hati saya terus jadi sebak,”katanya yang tinggal di Kampung Seberang Perak, Lorong Nyior Setali, di sini.

Shamsul Anuar berkata, dia berjaya menenangkan wanita itu dan memujuknya ke surau bagi mendapatkan tempat lebih selamat dan tenteram.

Katanya, wanita itu kurang bercakap mungkin kerana dalam ketakutan dan trauma.

“Saya kata saya bukan nak halau, saya nak tolong. Dia akhirnya ikut saya ke surau. Kami beri dia tempat duduk dan tanya apa masalah dia.

“Dia kelihatan masih dalam pantang dan lemah, malah raut wajahnya menunjukkan dia dalam keadaan sangat runsing,” katanya yang sudah lapan tahun menjadi pengerusi surau berkenaan.

Selepas dipujuk, katanya wanita itu mula bercerita bahawa dia sebelum itu menumpang di rumah rakannya berhampiran kampung berkenaan yang turut mempunyai keluarga, namun tertekan berdepan isu wang.

Lebih memilukan, suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara.

“Dia cakap dia lari dari rumah kawan sebab rasa tak selamat. Dia tak ada duit, tak ada tempat nak pergi. Anak dia pun cuma balut dengan tuala, ‘pampers’ sudah lama tak tukar,” katanya.

Tersentuh dengan nasib wanita itu, Shamsul Anuar dan beberapa jemaah lain bertindak membeli susu, lampin pakai buang dan makanan untuk bayi berkenaan serta menyediakan tempat rehat sementara di surau.

Katanya, wanita berusia awal 20-an itu kemudian memberitahu dia mempunyai seorang abang di Pulau Pinang.

“Saya bantu dia hubungi abangnya, dan kami sepakat beli tiket ETS paling akhir pada malam itu, dan pastikan dia dan bayinya naik kereta api dengan selamat,” katanya.

Menurutnya, semasa menunggu di stesen kereta api, seorang lelaki India turut sama membantu wanita itu mengangkat beg dan dia kemudian kelihatan lebih tenang.

“Ini pertama kali jadi di surau kami. Tapi saya bersyukur kami diberi peluang bantu dia. Kita tak kira bangsa atau agama, yang penting dia dan bayi selamat,” katanya.

Katanya, wanita itu sempat mengucapkan terima kasih sebelum berangkat ke Pulau Pinang.

“Dia ucap terima kasih beberapa kali dan saya kata doakan kami sihat dan dimurahkan rezeki.

“Bagi saya, ini ujian untuk saya dan rakan-rakan jemaah. Kita doakan yang baik-baik untuk wanita itu,” katanya yang bekerja di Pejabat Umno, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top