PENGENDALI baharu skuad kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti menyatakan rasa bangga dan penghormatannya apabila diberi tanggungjawab membimbing pasukan bola sepak paling berjaya di dunia, serta menyasarkan untuk menjuarai Piala Dunia 2026.
Pengendali berusia 65 tahun itu, yang diperkenalkan secara rasmi dalam satu sidang media di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), menyifatkan tugasan tersebut sebagai cabaran besar yang amat dinantikan sepanjang kerjayanya.
Ancelotti menyertai Selecao selepas empat tahun mengemudi kelab gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid.
Sepanjang dua penggal bersama Los Blancos, beliau merangkul tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dan dua gelaran La Liga.
Selain itu, beliau juga pernah membimbing AC Milan menjadi juara Eropah dua kali serta memenangi kejuaraan liga utama bersama Chelsea di England, Paris Saint-Germain di Perancis dan Bayern Munich di Jerman.
“Saya berasa amat bangga dan terhormat untuk memimpin pasukan terbaik di dunia. Saya sedar tanggungjawab ini sangat besar, namun saya bersedia.
“Brazil sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati saya dan kami akan bekerja keras untuk mengembalikan kejuaraan dunia kepada negara ini,” kata Ancelotti.
Brazil, yang pernah merangkul lima kejuaraan Piala Dunia dengan kali terakhir pada tahun 2002, akan membuka kempen bersama Ancelotti menerusi dua perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.
Mereka akan menentang Ecuador di gelanggang lawan pada 6 Jun, diikuti perlawanan di laman sendiri menentang Paraguay lima hari kemudian di Sao Paulo.
Ancelotti menggantikan Dorival Junior yang dipecat pada akhir Mac susulan kekalahan memalukan 1-4 kepada musuh tradisi, Argentina.
Kekalahan itu merupakan kesinambungan daripada siri keputusan hambar sejak Brazil tersingkir di suku akhir Piala Dunia 2022 kepada Croatia menerusi sepakan penalti.
Ketika ini, Brazil menduduki tangga keempat dalam carta kelayakan zon Amerika Selatan dengan empat perlawanan berbaki.
Enam pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Skuad kebangsaan Brazil kini dalam proses pemulihan selepas hanya mencatatkan lima kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir serta dibolosi sebanyak 16 kali.
Untuk dua aksi kelayakan akan datang, Ancelotti telah memanggil semula pemain tengah Manchester United, Casemiro dan penyerang Tottenham Hotspur, Richarlison, yang kali terakhir beraksi bersama Brazil ketika tewas 0-2 kepada Uruguay pada Oktober 2023.
Turut tersenarai dalam skuad 25 pemain itu ialah penjaga gol Liverpool, Alisson; pemain tengah Fulham, Andreas Pereira; Bruno Guimaraes dari Newcastle; Gabriel Martinelli (Arsenal) serta Matheus Cunha dari Wolves yang dilaporkan bakal menyertai Manchester United.
Pemain sayap Antony, yang kini dipinjamkan ke kelab Sepanyol, Real Betis dan dijangka beraksi dalam perlawanan akhir Liga Konferensi Eropah menentang Chelsea pada Khamis, turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Sementara itu, bintang utama Neymar masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan paha pada April lalu, meskipun beliau telah membuat penampilan sebagai pemain gantian untuk Santos dalam kemenangan 1-0 ke atas Vitoria dalam saingan Serie A Brazil pada hujung minggu lalu.
Senarai Pemain Brazil Kelayakan Piala Dunia 2027
Penjaga Gol:
Alisson (Liverpool), Bento (Al-Nassr), Hugo Souza (Corinthians).
Pertahanan:
Alex Sandro, Danilo, Leo Ortiz, Wesley (semua Flamengo), Alexsandro (Lille), Lucas Beraldo, Marquinhos (kedua-duanya Paris Saint-Germain), Carlos Augusto (Inter Milan), Vanderson (Monaco).
Pemain Tengah:
Andreas Pereira (Fulham), Andrey Santos (Strasbourg), Bruno Guimaraes (Newcastle), Casemiro (Manchester United), Ederson (Atalanta), Gerson (Flamengo).
Penyerang:
Antony (Real Betis), Estevao (Palmeiras), Gabriel Martinelli (Arsenal), Matheus Cunha (Wolves), Raphinha (Barcelona), Richarlison (Tottenham), Vinicius Jr (Real Madrid).