Asean All-Star malukan United di depan penyokong setia

Asean All-Star malukan United di depan penyokong setia


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harapan Manchester United untuk menamatkan badi trofi musim ini tidak kesampaian apabila tumbang 0-1 di tangan pasukan Asean All-Star dalam aksi persahabatan antarabangsa merebut Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Kekalahan tipis itu nyata memberi tamparan hebat buat pengendali United, Ruben Amorim yang hadir ke rantau ini dengan status hebat selaku bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Malah kehadiran bintang-bintang utama skuad Red Devils masih gagal membantu kelab itu yang dimalukan Asean All-Star yang dibarisi pemain-pemain terbaik beberapa negara seperti Malaysia, Thailand, Singapura, Myanmar, Vietnam, Australia, Filipina, Indonesia dan beberapa lagi.

Dalam aksi itu, pasukan Asean All-Star yang dibimbing Kim Sang-sik dilihat lebih merbahaya terutama 30 minit babak pertama berbanding gergasi EPL itu.

Penyerang Asean All-Star dari Vietnam, Nyugen Hai Long memberi amaran awal di minit kelima menerusi rembatan padunya namun percubaan sedikit tersasar ketika Andre Onana sudah pun tertewas.

Pada minit ke-17, gawang United sekali lagi diuji dengan kali ini Coulibaly Abdel Kader dari Australia membuat percubaan tetapi ia melambung tinggi.

Ketangkasan Onana nyata terserlah apabila dia yang menjadi pemain tumpuan penyokong berjaya menepis rembatan Sandro Miguel Reyes di minit 26.

United yang terlepas gelaran Liga Europa selepas tumbang di tangan Tottenham baru-baru ini mula meningkatkan gear permainan dan hasilnya minit 33 Manuel Ugarte melepaskan rembatan jarak jauh yang sedikit tersasar.

Patrick Dorgu hampir memecah kebuntuan di minit akhir babak pertama namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Asean dari Thailand, Patiwat Khammai, sekali gus kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Amorim membuat pertukaran dengan membawa masuk pemain bintang Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho dan Diallo Amad untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Pada minit 58, Fernandes menampilkan kualitinya apabila melepaskan satu voli padu ke arah gawang namun melambung tinggi.

Ketika permainan dikuasai sepenuhnya United, Asean All-Star secara tiba-tiba menggamatkan stadium pada minit 71 apabila berjaya merobek gawang lawan.

Ia berpunca dari satu serangan balas pantas yang menyaksikan akhirnya Mg Mg Lwin melepaskan satu percubaan tepat ke arah gawang United.

Adrian Segecic hampir menambah gol kedua buat Asean All-Star tetapi percubaannya mudah dihalang penjaga gol United di minit 85.

United cuba memburu gol penyamaan namun kelebihan tipis itu kekal hingga wisel penamat sekali gus menghampakan 72,550 penyokong yang hadir.

Selepas ini, United akan melengkapkan siri jelajah pra musim ke Hong Kong dengan berdepan pasukan pilihan negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top