SKUAD bola sepak lelaki bawah 23 (B-23) negara bakal berdepan laluan berliku apabila diundi bersama seteru tradisi, Thailand dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di negara Gajah Perang itu dari 1 hingga 9 September ini.
Selain tuan rumah, anak-anak buah Mohd Nafuzi Zain turut diundi bersama Lubnan dan Mongolia dalam saingan berformat berpusat itu.
Undian dijalankan di Ibu Pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini hari ini.
Hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 7 hingga 25 Jan tahun depan.
Setakat ini, pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan itu adalah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.
Dalam perkembangan sama, juara bertahan Jepun diundi dalam Kumpulan B bersama Kuwait, Myanmar dan Afghanistan. – Bernama
Berikut merupakan senarai penuh kumpulan bagi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026:
Kumpulan A: Jordan, Turkmenistan, Taiwan, Bhutan
Kumpulan B: Jepun, Kuwait, Myanmar, Afghanistan
Kumpulan C: Vietnam, Yaman, Singapura, Bangladesh
Kumpulan D: Australia, China, Timor Leste, Kepulauan Mariana Utara
Kumpulan E: Uzbekistan, Palestin, Kyrgyzstan, Sri Lanka
Kumpulan F: Thailand, Malaysia, Lubnan, Mongolia
Kumpulan G: Iraq, Kemboja, Oman, Pakistan
Kumpulan H: Qatar, Bahrain, India, Brunei
Kumpulan I: Emiriah Arab Bersatu, Iran, Hong Kong, Guam
Kumpulan J: Korea Selatan, Indonesia, Laos, Macau
Kumpulan K: Tajikistan, Syria, Filipina, Nepal