Hong Kong: Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo, mengakui tidak sepatutnya mengangkat jari tengah ketika berjalan melepasi penyokong semasa jelajah pasca-musim kelab itu di Asia, Rabu lalu.
Namun, dia menyatakan tidak menyesal melakukannya kerana mendakwa seseorang telah menghina ibunya.
Pemain berusia 22 tahun dari Ivory Coast itu dilihat mengangkat jari itu ketika pasukan berjalan melepasi penyokong di Kuala Lumpur selepas mereka tewas 0-1 kepada Asean All Stars, Rabu lalu.
“Saya hormat orang lain tetapi bukan kepada mereka yang menghina ibu saya. Saya tidak sepatutnya bertindak begitu, tetapi saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan,” tulis Diallo di X pada Khamis.
“Kami menikmati masa yang baik di Malaysia bersama orang yang baik.”
Amad masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam kekalahan itu.
Pemain turut dicemuh selepas perlawanan, dan pengurus United, Ruben Amorim berkata, pasukannya yang menamatkan musim di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak boleh bersembunyi daripada penyokong mereka.
United akan menamatkan jelajah pasca-musim mereka dengan perlawanan menentang Hong Kong, malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd