Ambil teladan pengorbanan Nabi Ibrahim dalam kehidupan

Ambil teladan pengorbanan Nabi Ibrahim dalam kehidupan


SITUASI seperti membawa kereta melebihi had laju, memotong kenderaan lain secara melulu dan berlumba-lumba di jalan raya perkara tidak asing lagi, malah boleh disaksikan saban hari.

Ia bukan sekadar pelanggaran undang-undang, tetapi cerminan realiti masyarakat hari ini yang semakin bersikap mementingkan diri sendiri.

Sikap itu bertentangan dengan konsep pengorbanan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS. Kisah tersebut saban tahun diulang dalam khutbah atau ceramah sempena Hari Raya Aidiladha.

Mengertilah bahawa kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS itu bukan hanya sejarah semata-mata, sebaliknya sarat dengan nilai sejagat yang relevan sepanjang zaman.

Demikian tegas Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob, menegur sikap segelintir umat Islam yang mementingkan keselesaan peribadi dan tidak sanggup berkorban untuk kebaikan bersama.

DR AHMAD

“Sikap itu mungkin berpunca akibat kurangnya kefahaman tentang ilmu kerohanian sebenar atau salah faham tentang maksud pengorbanan Nabi Ibrahim yang dilihat hanya meliputi soal ibadah korban semata-mata dan tiada kaitan dengan kehidupan moden,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.Teladani 5K

Jelas beliau, inti pati nilai dalam kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS boleh disimpulkan kepada lima teras utama atau 5K iaitu kecintaan, keyakinan, kepatuhan, kejujuran dan kasih sayang.

Ujarnya, kecintaan merujuk kepada cinta Nabi Ibrahim AS dan keluarganya terhadap ALLAH SWT yang mengatasi segala-galanya termasuk perasaan, logik akal dan keinginan peribadi.

“Daripada kecintaan itu, lahirlah keyakinan seperti yang ditunjukkan oleh Siti Hajar ketika ditinggalkan bersama bayinya di padang pasir atas perintah ALLAH SWT. Tanpa ragu, beliau percaya bahawa pertolongan Tuhan pasti akan datang.

DALAM Islam, pengorbanan tidak terhad kepada penyembelihan haiwan semata-mata, bahkan ia mencakupi pelbagai aspek kehidupan dalam meneladani pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim AS. -Foto: CANVA

DALAM Islam, pengorbanan tidak terhad kepada penyembelihan haiwan semata-mata, bahkan ia mencakupi pelbagai aspek kehidupan dalam meneladani pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim AS. -Foto: CANVA

“Cinta yang tulus ikhlas membawa kepada nilai kepatuhan. Ketika Ismail meningkat usia remaja dan sudah mampu membantu ibu bapanya, sekali lagi Baginda diuji dengan perintah agar disembelih oleh ayahnya,” kata beliau.

Meskipun demikian, katanya, Nabi Ibrahim AS tidak memaksa, sebaliknya memulakan komunikasi dengan anaknya secara jujur iaitu satu elemen penting dalam pembinaan hubungan keluarga.

“Bayangkan ketika Nabi Ibrahim AS mahu menyembelih Nabi Ismail, Baginda bertanya pendapat anaknya itu. Betapa sukarnya seorang ayah untuk meluahkan perkara terbuku dalam hatinya, tetapi kesukaran itu dapat diatasi dengan kejujuran.

“Apabila Nabi Ibrahim AS bercakap jujur kepada anak kesayangannya, ia telah menimbulkan kesan yang baik dan Nabi Ismail dapat menerima dengan senang serta rela hati, sebelum akhirnya ditukarkan dengan seekor kibas,” terangnya.

Sesungguhnya, ujar Dr Ahmad, nilai 5K itu membuahkan hasil kasih sayang dan keikhlasan yang akhirnya membentuk keluarga unggul yang sentiasa disebut dalam doa kita hingga ke hari ini.

SAMBUTLAH Hari Raya Aidiladha ini dengan pengahayatan lebih luas terhadap semangat pengorbanan, bukan menganggapnya sebagai ritual ibadah semata-mata. -Foto: CANVA

SAMBUTLAH Hari Raya Aidiladha ini dengan pengahayatan lebih luas terhadap semangat pengorbanan, bukan menganggapnya sebagai ritual ibadah semata-mata. -Foto: CANVA

Dalam pada itu, ahli akademik tersebut menegaskan bahawa pengorbanan tidak terhad kepada penyembelihan haiwan semata-mata, bahkan ia mencakupi pelbagai aspek kehidupan dalam meneladani pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim AS.

“Antaranya termasuklah keluarga, kerjaya dan masyarakat.

“Walaupun gaya hidup keluarga Nabi Ibrahim AS tidak sama dengan corak kehidupan moden yang selesa dan canggih, tetapi terdapat persamaan dari aspek nilai-nilai universal,” ungkapnya.

Pengorbanan zaman moden

Menyambung hujah, Dr Ahmad menekankan, pengorbanan dalam konteks moden juga bermakna mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan awam.

“Sebagai contoh, masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga kemudahan awam, mematuhi peraturan jalan raya dan menghormati hak pengguna lain. Ini adalah sebahagian bentuk pengorbanan sosial yang mencerminkan akhlak Islam.

“Dari satu sudut, penting untuk menjaga hubungan baik sesama ahli keluarga dengan berkomunikasi cara yang baik, bercakap jujur dan tidak berbohong,” jelasnya.

Tambah beliau, ibrah pengorbanan Nabi Ibrahim AS juga menyentuh dunia pekerjaan.

Seorang pekerja yang patuh kepada arahan dan melaksanakan tugas dengan amanah sebenarnya sedang meneladani sikap Nabi Ibrahim dalam menjalankan perintah ALLAH SWT tanpa persoalan.

PENGORBANAN dalam konteks moden juga bermakna mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan awam. -Foto: CANVA

PENGORBANAN dalam konteks moden juga bermakna mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan awam. -Foto: CANVA

“Seorang ketua memerlukan sokongan dan kerjasama daripada orang bawahannya. Apabila mesyuarat telah diminitkan, tindakan segera hendaklah diambil oleh pekerja yang diamanahkan,” terangnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Ahmad menyeru umat supaya menyambut Aidiladha dengan penghayatan lebih luas terhadap semangat pengorbanan.

“Jangan hanya dilihat sebagai aturan ritual ibadah semata-mata,” titipnya.

ANEKDOT

Erti korban yang sebenar

– Ibadah korban bukan semata-mata ritual penyembelihan. Ia merupakan manifestasi keimanan iaitu bukti keyakinan seorang Muslim bahawa ALLAH SWT akan membalas setiap pengorbanan dengan ganjaran lebih besar.

JAUHI sikap mementingkan diri yang menjadi 'musuh' kepada umat Islam untuk melakukan pengorbanan. -Foto: CANVA

JAUHI sikap mementingkan diri yang menjadi ‘musuh’ kepada umat Islam untuk melakukan pengorbanan. -Foto: CANVA

– Perkataan sedekah berasal daripada kata akar sadaqa yang bermaksud membenarkan. Ia bermakna membenarkan keimanan dalam hati melalui tindakan. Begitu juga dengan korban, ia adalah cara fizikal menzahirkan iman yang tersembunyi.

– Pengorbanan dalam kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS bukan sekadar sembelihan atau kibas, tetapi meliputi perpindahan, penyerahan diri dan tanggungjawab besar membina institusi ibadah (Kaabah).

– Kaabah pada hari ini wujud hasil pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup serta mematuhi perintah ALLAH walaupun belum nampak hasilnya secara zahir.

– Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyeru manusia ke arah Kaabah di padang pasir yang belum dihuni. Ia satu perintah yang mana logiknya sukar untuk diterima, tetapi demi keimanan dan keyakinannya, Baginda teguh melaksanakannya.

– Kini, Kaabah menjadi tumpuan ibadah umat Islam seluruh dunia yang membuktikan bahawa pengorbanan hari ini mungkin tidak segera dilihat hasilnya, tetapi memberi impak besar pada masa hadapan.



Source link

OR

Scroll to Top