alagesh@nst.com.my
Cameron Highlands: Hujan lebat yang berlarutan selama lebih dua jam mencetuskan aliran pantas air berlumpur yang menuruni bukit di sepanjang jalan di Taman Habu Heights, Ringlet, hari ini.
Video yang dirakam dari bangunan di kawasan yang lebih tinggi menunjukkan aliran air keruh mengalir deras ke bawah bukit, menutupi seluruh jalan utama.
‘Sungai lumpur’ yang mengalir di sepanjang kawasan berbukit itu dilihat melanda beberapa kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, manakala longkang di tepi jalan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, hujan lebat sejak jam 2 petang mengakibatkan banjir kilat, dan balai polis Ringlet dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 30 minit kemudian.
“Pasukan polis tiba di tempat kejadian pada jam 3 petang untuk memantau keadaan dan memastikan keselamatan orang awam. Tiada kejadian buruk dilaporkan.
“Dua laporan polis membabitkan kerosakan kenderaan yang terkandas akibat banjir kilat dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata, kawasan yang terjejas dibersihkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Roadcare selepas air surut sekitar jam 4 petang, membolehkan jalan dibuka semula.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati banjir kilat itu membabitkan air bercampur lumpur yang dipercayai mengalir dari kawasan Habu Heights, menyebabkannya melimpah ke jalan utama.
Azri menasihati orang ramai supaya terus berwaspada, terutamanya semasa hujan lebat, dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
Sementara itu, jurucakap APM Cameron Highlands berkata, hujan lebat itu turut mencetuskan tanah runtuh kecil yang menghalang jalan di Taman Orchid Deluxe Park, Ringlet.
“Jabatan Kerja Raya sudah membersihkan sisa runtuhan sebelum jalan dibuka semula pada jam 5 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






