ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad bola keranjang 3×3 lelaki negara menyasarkan pingat gangsa manakala pasukan wanita memasang impian emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun bulan depan.
Bagi skuad lelaki, keyakinan itu hadir selepas barisan muda negara menunjukkan prestasi positif di pentas antarabangsa meskipun hanya seorang pemain berpengalaman daripada skuad yang beraksi pada Sukan Komanwel sebelum ini dikekalkan.
Jurulatih skuad lelaki, Ee Kee Lip berkata, hanya kapten dikekalkan daripada pasukan Sukan Komanwel dengan tiga lagi pemain terdiri daripada pemain bawah 23 tahun.
“Sukan Asia menampilkan skuad bawah 23 tahun (B-23), daripada temasya Sukan Komanwel sebelum ini, hanya tinggal ketua pasukan sahaja (berada dalam skuad) tiga lagi adalah pemain B-23.
“Jadi secara dasarnya semua pemain baharu dalam skuad ini,” katanya selepas menerima lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi hari ini.
Menurutnya, sasaran gangsa kali ini mahu diperbaiki selepas skuad negara tersingkir di pusingan pertama pada edisi Sukan Asia lalu.
“Sasaran kita kali ini pingat gangsa. Pada Sukan Asia yang lalu, saya rasa kita tersingkir di pusingan pertama. Tiga perlawanan dan kita kalah semuanya.
“Tapi tahun ini kita sasarkan pingat gangsa,” katanya.
Mengulas cabaran di Jepun, beliau mengakui tuan rumah selain China dan Mongolia antara pasukan yang perlu diberi perhatian.
“Memang pasukan tuan rumah Jepun sekarang sangat kuat dalam 3×3. Kemudian China dan Mongolia, semuanya pasukan terbaik,” katanya.
Bagi skuad wanita pula, sasaran emas diletakkan sebagai motivasi meskipun mereka sedar saingan sengit menanti sejak peringkat kumpulan.
Jurulatih skuad wanita, Goran Vojkic berkata, pasukannya sudah membuat persiapan selama tiga hingga empat bulan dan bersedia memberikan segala-galanya di Jepun.
“Pingat emas adalah sasaran, sentiasa begitu. Setiap perlawanan yang kita main, kita mahu menang. Kita mahu menang sepanjang perjalanan.
“Tapi secara jujur, ini persaingan yang sangat sengit. Kumpulan kita juga sangat sukar kerana ada Mongolia, Filipina dan Macau.
“Jadi ia satu cabaran untuk melepasi peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya skuad negara mampu melangkah jauh berdasarkan persiapan yang dilakukan, termasuk pengalaman berdepan Filipina dalam dua perlawanan membabitkan pasukan B-21 dan B-23.
Acara bola keranjang akan berlangsung di Aichi International Arena dari 10 hingga 26 September.
© New Straits Times Press (M) Bhd
