PETALING JAYA: Inisiatif kerajaan menyediakan langganan percuma aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) kepada 100,000 belia perlu disusuli peluang untuk golongan itu menggunakan teknologi berkenaan bagi menghasilkan kandungan kreatif dan membina harta intelek (IP) sendiri.
Pengerusi Konsortium Ekonomi Jingga (OEC), Datuk Kamil Othman berkata, penguasaan AI tidak seharusnya terhenti pada kemahiran menggunakan teknologi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penciptaan kandungan bernilai tinggi yang mampu menjana ekonomi baharu.
“Penguasaan AI perlu diterjemahkan kepada penciptaan kandungan kreatif yang bernilai tinggi dan mampu menjana ekonomi baharu negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, AI juga tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kreativiti manusia, sebaliknya alat untuk memperkasakan bakat tempatan menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, OEC akan bekerjasama dengan Majlis TVET Negara bagi melaksanakan Program Latihan Industri Filem Mikro Berasaskan AI selama enam bulan, khusus untuk memberi latihan kepada graduan TVET dalam bidang penulisan skrip, pengarahan, sinematografi, penyuntingan dan kesan visual.
Katanya, program itu turut memberi pendedahan berkaitan penghasilan kandungan digital, pengurusan IP serta penerbitan untuk platform penstriman, dengan kandungan mengangkat sejarah, budaya dan tamadun alam Melayu Nusantara.
Kamil berkata, OEC akan memanfaatkan SIARAYA sebagai saluran penerbitan dan pengkomersialan karya peserta, manakala OKSS AI Workflow membantu mempercepat pembangunan skrip, pengurusan kandungan, hak cipta dan analitik.
Beliau berkata, inisiatif memperluas akses AI kepada belia perlu disusuli pembinaan ekosistem ekonomi kandungan yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, termasuk menerusi pembangunan IP untuk industri filem, drama, OTT, animasi dan media digital. – UTUSAN
