harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan tiga rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Laos kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah ganja.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @Mohd Salahuddin Che Ali berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Laos pada 22 Mei.
“Ketiga-tiga lelaki berkenaan berusia antara 25 hingga 29 tahun itu menaiki penerbangan Thai Airways.
“Semakan mendapati mereka meninggalkan tanah air pada 22 Mei lalu dan kita sedang menyiasat ketiga-tiga suspek ini menyeludup ganja dari negara mana,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga individu terbabit kini dalam tahanan pihak berkuasa Laos dan pihak JSJN sedang mengumpul maklum lanjut berkaitan perkara itu.
Terdahulu media melaporkan, penyanyi rap Malaysia antara tiga individu warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Laos kerana disyaki cuba menyeludup ganja.
Laporan itu yang memetik media Laos mendakwa mereka ditahan bersama lebih 100 paket ganja di Lapangan Antarabangsa Wattay, Laos dipercayai cuba diseludup ke Jerman.
© New Straits Times Press (M) Bhd