Era baharu NSFC bermula, Aminuddin galas tanggungjawab besar

Era baharu NSFC bermula, Aminuddin galas tanggungjawab besar


Tunku Syed Idrus (kiri) dan Aminuddin (kanan)

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik sebagai Pengerusi Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) yang baharu, menandakan permulaan era lebih profesional dan berstruktur dalam landskap bola sepak negeri itu.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, yang juga Tunku Besar Tampin pada Khamis.

Menurut Tunku Syed Razman, pelantikan Aminuddin mencerminkan komitmen berterusan PBNS dalam memperkukuh tadbir urus bola sepak negeri, sejajar dengan amalan terbaik pemisahan peranan antara PBNS sebagai badan induk dan NSFC sebagai entiti profesional yang mengurus pasukan utama.

“Datuk Seri Aminuddin membawa bersama pengalaman luas dalam kepimpinan serta visi progresif untuk bola sepak Negeri Sembilan. Pelantikan beliau diyakini akan mengukuhkan sinergi antara Kerajaan Negeri, PBNS, dan semua pihak berkepentingan ke arah menjadikan NSFC sebuah kelab berprestasi tinggi, mapan dan disegani,” titahnya.

Pelantikan ini juga menyaksikan PBNS akan lebih menumpukan usaha kepada pembangunan akar umbi, pembinaan bakat muda, penganjuran kejohanan peringkat negeri serta peningkatan kejurulatihan.

Sementara itu, NSFC akan terus digerakkan sebagai kelab profesional yang mampu bersaing secara kompetitif di pentas kebangsaan dan rantau Asia.

Dalam reaksinya, Aminuddin menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu tanggungjawab besar dan amanah yang perlu digalas dengan penuh iltizam.

“Saya amat menghargai pelantikan ini. NSFC bukan sekadar sebuah kelab bola sepak, tetapi juga lambang kebanggaan rakyat Negeri Sembilan serta institusi yang mencorakkan legasi dalam arena sukan tanah air.

“Bola sepak bukan semata-mata permainan, sebaliknya ia adalah medium perpaduan, pembentukan identiti negeri serta platform pembangunan belia yang dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai lapisan.

“Maka saya menyeru semua penyokong, penaja dan rakan strategik agar bersama-sama menyemarakkan semula kekuatan NSFC. Dengan semangat setiakawan serta komitmen bersama, saya yakin NSFC mampu bangkit dan kembali menjadi pencabar utama dalam saingan bola sepak negara,” katanya.

NSFC dijadualkan memulakan kempen Liga Super 2025/26 yang akan bermula pada Ogos ini.

INFO LIGA SUPER 2025/26

1.Johor Darul Ta’zim FC (JDT)
2.Selangor FC
3.Penang FC
4.Kuching City FC
5.Sabah FC
6.Terengganu FC
7.Sri Pahang FC
8.Negeri Sembilan FC
9.Melaka FC
10.Imigresen FC
11.Kuala Lumpur City FC
12.Kelantan Darul Naim FC
13.PDRM FC
14.Brunei DPMM FC



Source link

OR

Scroll to Top