Lelaki disyaki curi 2 cermin mata ditahan orang awam ketika cuba lari

Lelaki disyaki curi 2 cermin mata ditahan orang awam ketika cuba lari


rnoraina@hmetro.com.my

Ampang: Tindakan seorang lelaki mencuri dua cermin mata berjenama dari sebuah premis perniagaan di dalam pusat beli belah di Pusat Bandar Melawati di sini, membawa padah apabila dicekup polis kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun yang sebelum itu cuba melarikan diri berjaya ditahan orang awam di lokasi dengan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja kedai cermin mata kira-kira 5 petang.

“Pengadu melihat seorang lelaki mengambil dua cermin mata berjenama dan berlari keluar.

“Pengadu cuba mengejar tetapi tidak berjaya lalu meminta rakan sekerjanya untuk mengekori lelaki itu dan meminta bantuan orang ramai bagi menangkap suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, sepasukan polis yang menerima laporan ke lokasi dan menahan suspek serta merampas dua cermin mata yang disyaki dicuri.

Katanya, semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 21 rekod jenayah lampau termasuk 16 berkaitan dadah, selain mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 47 saat yang memaparkan suspek disyaki mencuri cermin mata ditahan orang awam di luar pusat beli belah berkenaan sebelum dibawa masuk ke ruang premis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top