Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meraikan pengamal media menerusi penganjuran Program Santai Boling MAIWP Bersama Media 2026 di Juara Bowling, Strand Mall, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.
Ia disertai wakil daripada pelbagai organisasi media termasuk Harian Metro, Bernama, IKIMfm, Malaysia Gazette, Berita Harian, New Straits Times (NST), Media Prima Omnia Sdn Bhd, Utusan Malaysia, TV AlHijrah, BPP RTM dan Siakap Keli.
Selain itu, wakil syarikat-syarikat subsidiari di bawah MAIWP serta Ketua Unit Komunikasi Korporat agensi berkenaan yang berada di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengambil bahagian
Acara disempurnakan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Nizam Yahya, bersama kepimpinan tertinggi syarikat-syarikat MAIWP.
Dalam kenyataannya, MAIWP berkata, program itu diadakan bagi mengiktiraf peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, selain mengetengahkan pelbagai inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi demi manfaat umat Islam di Wilayah Persekutuan.
“Program berkonsep santai ini turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh jaringan kerjasama serta membina hubungan yang lebih rapat antara MAIWP dengan rakan media dan agensi berkaitan.
“Hubungan strategik yang terjalin diharapkan dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif agensi dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih meluas dan berkesan,” katanya.
Pada penganjuran kali ini, agensi berita BERNAMA muncul sebagai Johan, diikuti New Straits Times (NST) di tempat Naib Johan dan TV AlHijrah di tempat ketiga.
Manakala IKIMfm dan Harian Metro masing-masing di tempat keempat dan kelima.
© New Straits Times Press (M) Bhd






