Gerakan buat persediaan awal, jangka PRN Melaka pada Oktober


KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal dibubarkan pada September ini, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang kemungkinan besar akan diadakan pada Oktober.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, andaian berkenaan dibuat bagi memastikan parti itu dapat menyediakan jentera serta strategi secara lebih awal berbanding pengalaman PRN terdahulu.

Beliau berkata, jangkaan jadual pembubaran yang amat singkat ini memerlukan semua peringkat parti bergerak pantas dan mengambil langkah proaktif tanpa perlu menunggu saat-saat akhir.

“Kita jangka DUN Melaka akan dibubarkan pada bulan September dan hari mengundi kemungkinan besar diadakan pada bulan Oktober,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dominic menegaskan kesediaan parti itu untuk bertanding di mana-mana DUN pada PRN Melaka sekiranya kerusi yang diingini tidak dapat dipenuhi.

Beliau berkata, keutamaan parti pada ketika ini adalah untuk memberikan kemenangan serta mandat kepada Perikatan Nasional (PN), bukannya hanya menuntut kerusi tertentu.

Tambahnya, Gerakan telah pun mengenalpasti beberapa kerusi potensi dan mengarahkan calon parti untuk mula turun padang membuat kerja-kerja kemasyarakatan lebih awal.

“Sebab itu saya minta mereka (bakal calon) bergerak dulu. Jika ada rezeki dan kriteria dipenuhi, Alhamdulillah, kita teruskan bertanding, namun jika tidak dapat, calon dan jentera bersedia dialihkan ke mana-mana kawasan untuk membantu kempen calon PN,” katanya.

Dominic menjelaskan bahawa landskap politik negara ketika ini bertukar dengan begitu pantas, sekali gus memerlukan strategi yang fleksibel serta tahap adaptasi yang tinggi.

Katanya, persediaan awal di peringkat kawasan tetap perlu dilakukan supaya bakal calon lebih dikenali oleh pengundi tempatan sebelum hari penamaan calon.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top