BEKAS pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), David Coote, telah didakwa Persatuan Bolasepak England (FA) atas kesalahan membuat kenyataan menghina terhadap bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, dalam satu video yang tular di media sosial.
Insiden itu berlaku pada November 2024 apabila rakaman video menunjukkan Coote, 42, mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap Klopp serta kelab Liverpool.
Ekoran pendedahan video berkenaan, beliau digantung tugas serta-merta sebelum diberhentikan secara rasmi oleh badan pengadil profesional,
Lembaga Pegawai Perlawanan Profesional (PGMOL), pada Disember 2024 selepas siasatan dalaman dijalankan.
Dalam kenyataan rasmi terkini, FA menyatakan Coote telah dikenakan pertuduhan di bawah Peraturan E3.1 yang melibatkan perlakuan tidak wajar serta penggunaan kata-kata kesat dan menghina.
Pertuduhan turut menyebut bahawa rujukan terhadap kewarganegaraan Klopp dalam video tersebut merupakan pelanggaran berat.
Bagaimanapun, Coote bebas daripada sebarang salah laku berkaitan pertaruhan selepas timbul dakwaan beliau membincangkan kemungkinan mengeluarkan kad kuning kepada pemain sebelum sesuatu perlawanan berlangsung.
Coote menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai tidak benar dan bersifat fitnah.
Dalam satu perkembangan berasingan, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut mengenakan hukuman penggantungan terhadap Coote daripada sebarang tugasan perlawanan peringkat Eropah sehingga 30 Jun 2026.
Ini susulan penyebaran sebuah video lain yang menunjukkan Coote menghidu serbuk putih ketika bertugas di kejohanan Euro 2024 anjuran UEFA.