ARAU: Pusat Islam Windhoek menamakan madrasahnya sebagai ‘Faizuddin Academy for Ilm and Dzkir’ bagi memberi penghargaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pelaksanaan itu merupakan inisiatif Kuasa Usaha Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya sebagai pengiktirafan atas sumbangan baginda dalam bentuk barangan dan kewangan kepada Pusat Islam Windhoek yang menguruskan hal ehwal komuniti Muslim di sana.
Mohamad Rameez berkata, antara sumbangan Tuanku Syed Faizuddin selama dua tahun sebelum ini termasuklah melibatkan penyediaan dapur rakyat buat golongan memerlukan selepas solat Jumaat.
“Bermula September depan, baginda melalui Universiti Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar Muslim Namibia bagi melanjutkan pengajian di Perlis.
“Setakat ini, empat pelajar dari Namibia telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian Islam peringkat tinggi di UniSIRAJ,” katanya.
Dalam pada itu, Rameez berkata, pengurusan Pusat Islam Windhoek turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas bantuannya sejak Islam mula bertapak di Namibia menerusi kumpulan pertama saudara baru pada tahun 1979.
Katanya, pihaknya berharap madrasah itu akan menjadi titik permulaan kepada penyebaran ajaran agama Islam bagi membantu penduduk Namibia memahami peranan agama dalam membina sebuah masyarakat bersatu-padu, aman dan harmoni. -UTUSAN