Piala Dunia Kelab: Villas-Boas dedah cabaran Porto rekrut pemain

Piala Dunia Kelab: Villas-Boas dedah cabaran Porto rekrut pemain


KELAB gergasi Portugal, Porto, bergelut dalam usaha merekrut pemain menjelang Piala Dunia Kelab FIFA yang kini diperluaskan penyertaan pasukan bagi penganjuran edisi di Amerika Syarikat.

Presiden Porto, Andre Villas-Boas, mendedahkan bahawa sasaran perpindahan mereka menolak tawaran khusus untuk mengelakkan beban jadual perlawanan tambahan akibat kejohanan tersebut.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah memberikan pilihan kepada liga-liga untuk membuka jendela perpindahan antara 1 hingga 10 Jun agar kelab yang mengambil bahagian dapat menandatangani pemain sebelum kejohanan selama sebulan di Amerika Syarikat itu.

“Kami menguji pasaran baru-baru ini, jadi kami mempunyai jendela perpindahan khas dari 1 hingga 10 Jun di mana kelab-kelab Piala Dunia Kelab beroperasi. Sangat luar biasa melihat ramai pemain bola sepak tidak mahu berada dalam pertandingan itu,” kata Villas-Boas.

Beliau menambah, pemain-pemain tersebut lebih memilih untuk berehat bagi memulakan musim baharu dengan segar.

Situasi ini turut selari dengan tuntutan Kesatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Dunia (FIFPro) yang menuntut lebih banyak masa rehat untuk pemain.

Satu kajian FIFPRO menyimpulkan bahawa cuti empat minggu di luar musim seharusnya diwajibkan untuk pemain bola sepak profesional.

“Dengan Piala Dunia yang akan datang di Amerika musim depan (2026), ia adalah pertandingan yang lebih besar dengan lebih banyak pasukan, mungkin 1,200 atlet dalam satu pertandingan.

“Jadi, jadual semakin memenatkan dan kami mengalami lebih banyak kecederaan… Pemain tidak dapat memberikan tontonan yang baik jika mereka tidak cergas,” ujar Villas-Boas

Villas-Boas, bekas pengendali di kelab-kelab seperti Porto, Chelsea, dan Tottenham Hotspur, turut menyatakan bahawa kejohanan 32 pasukan yang diperluaskan ini datang pada masa yang sangat tidak sesuai untuk kelab-kelab Eropah yang baru sahaja menamatkan musim yang memenatkan pada Mei lalu.

Porto seri 0-0 dengan Palmeiras dalam perlawanan kumpulan A pembukaan mereka, di mana pasukan Brazil itu mendominasi perlawanan tetapi gagal menemui gol.

“Beberapa di antara kami (kelab-kelab Eropah) terpaksa memberikan cuti kepada pemain, kemudian kami perlu membawa mereka kembali lebih awal tanpa masa yang cukup untuk mereka pulih.

“Jadi bagi kami, kami seperti dalam kesinambungan musim lalu. Dan apa sahaja yang berlaku selepas kejohanan ini, musim baharu akan datang, jadi mereka sebenarnya tidak pernah mendapat ‘reset’ yang mereka perlukan (menjelang) musim baharu,” kata Villas-Boas.

Porto seterusnya akan menentang Inter Miami pimpinan Lionel Messi di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta pada Jumaat ini.



Source link

OR

Scroll to Top