PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh bertekad memanfaatkan peluang beraksi dalam kejohanan bertaraf tinggi di Amerika Utara bagi membalas kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pemain berusia 21 tahun itu dijadual menyertai dua kejohanan berstatus Super 300 dan Super 500, masing-masing di Terbuka Amerika Syarikat (24–29 Jun) dan Terbuka Kanada (1–6 Julai).
“Ini pengalaman pertama saya ke Amerika Syarikat dan Kanada. Perjalanannya jauh dan kosnya tinggi, jadi saya sangat berterima kasih kepada BAM.
“Harap ia berbaloi dan saya dapat capai keputusan yang positif,” katanya.
Ketika ini, Justin berada di ranking ke-42 dunia dan sedang mencari rentak selepas melalui musim yang mencabar, apabila terkandas awal dalam tujuh daripada lapan kejohanan sebelum ini.
Namun, pencapaian mara ke suku akhir di Terbuka Taiwan bulan lalu menjadi suntikan semangat buatnya, ditambah dengan latihan intensif selama empat minggu di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Sebelum ini terlalu banyak kejohanan, jadi saya kurang masa untuk berlatih.
“Tetapi dalam tempoh empat minggu terakhir ini, saya fokus kepada latihan dan yakin prestasi semakin pulih,” ujar Justin yang meletakkan sasaran untuk menembusi kelompok 32 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.