KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester United, Omar Berrada yakin sasaran Manchester United untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang 2028 bukan sekadar angan-angan.
Berrada yang sebelum ini berkhidmat bersama Manchester City dan Barcelona menyifatkan pengendali United, Ruben Amorim sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri pengendali Manchester City, Pep Guardiola serta percaya kelab gergasi itu kini memasuki era baharu yang lebih cerah.
United kini berusaha memulihkan prestasi hambar selepas melalui musim terburuk dalam sejarah EPL mereka dengan menamatkan saingan di tangga ke-15 dan tewas di final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur di Bilbao.
Namun, Berrada tetap yakin dengan visi jangka panjang pemilik bersama, Sir Jim Ratcliffe melalui inisiatif ‘Projek 150’ yang menetapkan matlamat menjulang kejuaraan liga menjelang ulang tahun ke-150 kelab itu pada tahun 2028.
“Bolehkah United menjuarai Liga Perdana menjelang 2028? Sudah tentu. Saya benar-benar percaya kami mampu melakukannya.
“Kami ada dua atau tiga jendela perpindahan musim panas untuk membina sebuah pasukan yang mampu bersaing merebut gelaran.
“Ini bukan bermakna kami tidak mahu menang sebelum itu, tetapi kami menetapkan sasaran yang realistik dalam tempoh tertentu supaya segala usaha dan tenaga dapat difokuskan ke arah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Berrada juga merujuk kepada musim pertama Pep Guardiola di City sebagai rujukan utama keyakinannya terhadap Amorim.
Guardiola yang menyertai City pada 2016, turut melalui musim tanpa trofi dan menerima kritikan hebat tetapi disokong penuh kelab sebelum mencipta dominasi liga.
“Saya nampak banyak persamaan (antara Amorim dan Pep). Tahun pertama Pep pun sukar, ada yang sangsi dia boleh bawa gaya permainan yang diinginkan tetapi dia berpegang pada prinsip dan akhirnya mencipta kitaran kemenangan yang berpanjangan.
“Perjalanan ini tidak akan mudah. Akan ada detik sukar dan ia tidak akan selesai dalam satu jendela perpindahan. Tapi kami berada di landasan yang betul,” katanya.
Amorim mengambil alih United pada November lalu selepas pemecatan Erik ten Hag ketika pasukan berada di tangga ke-13 liga, namun hanya lima mata dari kelompok kelayakan Liga Juara-Juara.
Sepanjang 27 perlawanan liga, dia kalah 14 kali namun Berrada percaya lantikan pertengahan musim adalah satu pelaburan masa depan.
“Memang sukar untuk pasukan beraksi dengan baik apabila berlaku pertukaran pertengahan musim, tapi kami melihatnya sebagai pelaburan untuk musim-musim akan datang.
“Jika Ruben hanya mula 1 Julai 2025, dia tidak akan ada semua pengetahuan ini.
“Sekarang dia dan pasukan telah ‘menderita’, dan saya percaya tempoh tujuh atau lapan bulan ini akan sangat membantu untuk masa depan,” katanya.