norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Fikry Ibrahim, 31, tidak peduli dengan tanggapan segelintir masyarakat yang mungkin mendakwa dia seakan mempermainkan urusan perceraian.
Ini berikutan percanggahan kenyataan dengan peguam syarie yang mewakili isterinya, Siti Khalizah Alihan iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi semalam.
Malam tadi, Fikry menerusi siaran langsung program Melodi memaklumkan isterinya hadir di mahkamah bagi menarik balik permohonan cerai.
Kenyataan itu bercanggah dengan Wan Muhammad Afiq yang mengesahkan Siti Khalizah memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman dengan Fikry.
Fikry ketika ditanya berhubung kenyataan itu seolah-olah dia mempermainkan isu perceraian, enggan mengulas dan hanya bersyukur.
“Alhamdulillah! Terima kasih sangat-sangat datang. Cuma macam biasalah, saya sudah beri penjelasan dalam Melodi tadi,” katanya kepada media ketika ditemui di Studio 2, Balai Berita Bangsar, di sini, malam tadi.
Fikry juga mendakwa dia tidak menafikan kenyataan peguam isterinya yang dikatakan tidak bercakap habis dengan pihak media.
Dia juga hanya menjawab ‘surprise’ ketika ditanya sama ada permohonan cerai itu akan diteruskan atau ditarik semula.
Selain itu, Fikry juga memaklumkan isu rumah tangganya yang menjadi bualan hangat bukan gimik semata-mata.
Dia turut memaklumkan isterinya menunggu dalam kereta, namun kelibat wanita itu tidak kelihatan.
“Ya (datang dengan isteri). Tak mungkin gimik,” katanya.
Pagi semalam, Siti Khalizah hadir di mahkamah untuk sebutan pertama kes perceraian yang difailkan terhadap Fikry, Mei lalu.
Peguamnya turut menjelaskan Siti Khalizah memohon perceraian berikutan tiada lagi persefahaman dengan Fikry.
Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga pada majlis tertutup di Jitra, Kedah, pada 12 Februari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd