Curacao kembali harap sentuhan Advocaat

Curacao kembali harap sentuhan Advocaat


Willemstad: Jurulatih veteran Belanda, Dick Advocaat kembali membimbing Curacao menjelang Piala Dunia 2026 bulan depan sekali gus mencipta sejarah sebagai jurulatih tertua di pentas itu pada usia 78 tahun.

Pelantikannya diumumkan dalam sidang media Persatuan Bola Sepak Curacao semalam susulan peletakan jawatan Fred Rutten Isnin lalu.

Rutten dilaporkan berundur selepas wujud tekanan daripada pemain dan penaja utama persekutuan untuk membawa semula Advocaat yang sebelum ini meninggalkan pasukan pada Februari akibat masalah kesihatan anak perempuannya.

Jurulatih berusia 63 tahun itu sebenarnya dipilih sebagai pengganti Advocaat, namun selepas dua kekalahan pada Mac lalu iaitu 0-2 kepada China dan 1-5 kepada Australia, desakan supaya Advocaat kembali mula memuncak.

Situasi itu turut diperkuatkan dengan kenyataan rasmi penaja utama pasukan yang juga syarikat pelancongan tempatan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Curacao, Gilbert Martina bagaimanapun menafikan wujudnya pemberontakan pemain terhadap Rutten.

“Selepas diketahui anak perempuan Advocaat semakin pulih, satu kempen negatif mula dimainkan dalam media hingga Rutten dilihat dalam gambaran buruk.

“Tapi pemain sendiri menafikan dakwaan negatif itu,” katanya.

Martina berkata, Rutten menghubunginya Ahad lalu dan memaklumkan keputusan untuk melepaskan jawatan.

“Suasana yang boleh merosakkan hubungan profesional sihat dalam skuad dan barisan kejurulatihan tidak sepatutnya berlaku. Sebab itu saya rasa lebih baik untuk berundur,” menurut kenyataan Rutten.

Martina kemudian menghubungi Advocaat pada Isnin sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan semalam.

Di bawah kendalian Advocaat, Curacao berjaya layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah walaupun jurulatih itu terlepas aksi penentuan menentang Jamaica November lalu kerana masalah kesihatan anaknya.

Curacao yang mempunyai populasi sekitar 150,000 penduduk bakal menjadi negara paling kecil pernah beraksi di Piala Dunia.

Mereka diundi dalam Kumpulan E bersama Ecuador, Jerman dan Ivory Coast pada kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Ia juga menjadi penampilan ketiga Advocaat di Piala Dunia selepas pernah membimbing Belanda pada 1994 dan Korea Selatan pada 2006.

Pada usia 78 tahun, beliau memecahkan rekod jurulatih tertua sebelum ini milik Otto Rehhagel yang berusia 71 tahun ketika membimbing Greece di Piala Dunia 2010.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top