KELAB Liga Perdana Inggeris, Manchester City, memulakan kempen Piala Dunia Kelab FIFA dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Maghribi, Wydad Casablanca, 2-0 di Lincoln Financial Field, Philadelphia.
Kemenangan ini disumbang oleh aksi cemerlang Phil Foden yang kembali menemui sentuhan terbaik dengan satu gol dan satu bantuan jaringan untuk skuad bimbingan Pep Guardiola.
City, yang menyaksikan kelab gergasi Eropah lain seperti Paris Saint-Germain, Bayern Munich dan Chelsea turut mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama mereka, tidak melakukan sebarang kesilapan menentang wakil Afrika Utara itu.
Meskipun banyak kerusi kosong kelihatan di dalam stadium, ribuan penyokong City tetap membanjiri venue perlawanan dan menyaksikan persembahan lima bintang daripada pemain tengah England tersebut.
Skuad Guardiola, yang menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi, membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Foden yang menewaskan penjaga gol Wydad, Mehdi Benabid.
Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, sepakan sudut Foden pula disudahkan dengan kemas oleh Jeremy Doku.
Pemenang Ballon d’Or, Rodri, dimasukkan dari bangku simpanan untuk penampilan keduanya sejak mengalami kecederaan lutut serius pada September lalu.
Erling Haaland turut menerima tepukan gemuruh daripada penyokong setelah dimasukkan, namun rembatan dari posisi terbaiknya tersasar tinggi, manakala satu lagi percubaan lewat diselamatkan Benabid.
Wydad yang diperkuatkan oleh Nordin Amrabat, bekas pemain Watford dan Hull City, berusaha melalui beberapa serangan balas, namun gagal menembusi gawang City yang dikawal rapi oleh Ederson.
City bagaimanapun kehilangan khidmat Rico Lewis untuk perlawanan seterusnya menentang Al Ain pada Selasa selepas beliau dilayangkan kad merah langsung kerana mengasari Samuel Obeng ketika perebutan bola di penghujung perlawanan.
Guardiola turut memberikan penampilan sulung kepada dua pemain baharu yang ditandatangani pada musim panas lalu, iaitu Rayan Cherki dan Tijjani Reijnders.
Penyerang muda Perancis, Cherki, mempamerkan sentuhan kreatif di kawasan sepertiga akhir, manakala pemain antarabangsa Belanda, Reijnders, menyerlah di bahagian tengah dengan larian meluas dan beberapa pintasan penting.
Bek kiri Algeria yang juga bekas pemain Wolves, Rayan Ait-Nouri, tidak diturunkan dan kekal di bangku simpanan, manakala Nico O’Reilly diberi keutamaan dalam kesebelasan utama.
“Perlawanan pertama sentiasa sangat penting. (Foden) sangat bagus. Beliau sentiasa ada di sana.
“Kami amat berpuas hati. (Reijnders) ialah pemain yang sangat baik.
“Anda merasakannya, menghidunya. Apabila beliau mendapat rentak, beliau akan berada di tahap tertinggi,” kata Guardiola.