Hakim Danish (kanan) dan Qabil Irfan akan berlumba di pentas berbeza di Eropah hujung minggu ini.
DUA pelumba muda berbakat dari Terengganu, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan bakal menggalas cabaran negara hujung minggu ini di pentas perlumbaan Eropah apabila masing-masing beraksi dalam saingan berprestij di Itali dan Sepanyol.
Hakim Danish kini mendahului kedudukan keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan akan turun beraksi dalam Pusingan 4 di Litar Mugello, Itali dengan misi mengekalkan momentum cemerlang untuk memburu gelaran musim ini.
Pelumba berusia 17 tahun itu mengumpul 125 mata hasil lima podium tempat kedua dan satu kemenangan di Aragon, menjadikannya antara pencabar utama kejohanan.
“Saya jangka perlumbaan di Mugello akan sengit dengan kelompok hadapan yang besar. Tapi saya suka karakter litar ini yang mempunyai laluan lurus panjang sesuai untuk slipstream,” katanya yang menjalani latihan intensif di Sepanyol sebagai persiapan.
Sementara itu, Qabil Irfan, 13, turut meneruskan misi di bumi Eropah apabila bersaing dalam Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent Cup di Litar Barcelona-Catalunya.
Pelumba Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu mengintai keputusan positif selepas melakukan persiapan rapi termasuk ujian tertutup di Aragon dan sesi latihan bersama Riders Formation.
“Saya pernah menang di Catalunya tahun lalu. Ia litar yang mencabar dengan banyak selekoh berkelajuan tinggi.
“Saya rasa lebih bersedia kali ini dan harap dapat ulangi pencapaian itu,” katanya yang menjuarai Perlumbaan 1 Litar pada pusingan pembukaan tirai kejuaraan ESBK 2025 di Litar Jerez pada April lalu.