Sri Pahang sah tarik diri, hanya 13 kelab beraksi dalam Liga M 2025-2026

Sri Pahang sah tarik diri, hanya 13 kelab beraksi dalam Liga M 2025-2026


Sri Pahang sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga-M musim ini. Foto Bernama

SRI Pahang FC sah tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini walaupun telah diberikan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB).

Menurut kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Sri Pahang telah menghantar surat pengesahan bertarikh 16 Jun lalu bagi memaklumkan keputusan menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan musim ini.

Dalam pada itu, MFL memaklumkan bahawa keputusan Sri Pahang menarik diri menyaksikan saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada 8 Ogos ini hanya akan disertai oleh 13 kelab.

“Antara kelab yang bakal berentap merebut kejuaraan musim ini termasuklah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC dari Brunei, selain dua wakil AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.

“Kesemua 13 kelab ini telah diberikan Lesen Kebangsaan 2025–2026 oleh FIB, manakala DPMM FC pula menerima kelulusan khas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk kembali menyertai Liga Malaysia musim ini,” menurut kenyataan itu.

Liga Malaysia musim ini akan membuka tirai dengan aksi Sumbangsih antara JDT selaku juara Liga Super musim lalu menentang naib juara, Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2025.

Sementara itu, kejohanan Piala FA dijadualkan bermula pada pertengahan Ogos, manakala Piala Malaysia dan Piala Cabaran akan berlangsung bermula Januari 2026.

MFL turut memaklumkan bahawa kalendar Liga Malaysia musim ini akan berjalan selama 10 bulan, selepas penyesuaian musim lalu yang berlangsung selama 14 bulan bagi menyelaraskan jadual dengan liga antarabangsa.

Jadual rasmi Liga Malaysia 2025–2026 dijangka diumumkan dalam masa terdekat. Namun begitu, MFL kini berdepan cabaran untuk melengkapkan jadual penuh musim memandangkan undian rasmi ACL Elite dan ACL 2 yang melibatkan JDT dan Selangor hanya akan berlangsung pada 15 Ogos depan.

Selain itu, MFL juga masih menunggu tarikh rasmi bagi Kejohanan Kelab ASEAN anjuran Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang turut membabitkan dua kelab berkenaan.



Source link

OR

Scroll to Top