'Kalau boleh, saya nak kaki kiri Messi' – Ronaldo

'Kalau boleh, saya nak kaki kiri Messi' – Ronaldo


Lisbon: Persaingan dua ikon bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sering dianggap sengit, namun bintang Portugal itu secara terbuka mengakui satu kelebihan Messi yang cukup dikaguminya iaitu kaki kiri pemain Argentina itu.

Pendedahan itu dibuat Ronaldo dalam satu temu bual eksklusif bersama ESPN di mana satu ketika dahulu menyaksikan kedua-duanya bersaing untuk gelaran pemain terbaik dunia.

“Kalau boleh, saya nak kaki kiri dia (Messi). Sepakan kaki kirinya memang lebih baik daripada saya,” kata Ronaldo sambil tersenyum.

Ronaldo, 40, yang kini beraksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi, terkenal dengan kekuatan fizikal dan sepakan kaki kanan yang padu, manakala Messi pula lebih menyerlah dengan sentuhan magis kaki kirinya satu ciri yang menjadikan dia antara pemain paling menakjubkan dalam sejarah bola sepak.

Setakat ini, statistik menunjukkan Messi telah menjaringkan lebih 700 gol menggunakan kaki kiri sepanjang kariernya, berbanding sekitar 180 gol dengan kaki kiri bagi Ronaldo.

Menariknya, ketika ditanya mengenai pendapatnya terhadap Ronaldo, Messi pula menjawab dengan penuh profesional dan tenang.

“Cemburu itu sifat yang negatif. Cristiano ada banyak kualiti yang hebat dan saya yakin semua pemain ingin ada kelebihan seperti dia. Tapi kami berdua ada gaya tersendiri,” katanya dalam temu bual berasingan.

Walaupun kedua-dua pemain kini berada di penghujung kerjaya masing-masing dengan Messi bersama Inter Miami dan Ronaldo di Al-Nassr namun perbandingan antara mereka kekal menjadi topik hangat dalam dunia bola sepak.

Daripada jumlah gol, assist, kejuaraan kelab dan anugerah individu, nama Ronaldo dan Messi kekal terpahat sebagai dua legenda yang mengubah lanskap bola sepak moden.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top