KLUANG: Dua Ketua Kampung di daerah ini menyatakan komitmen tinggi untuk terus merancang dan melaksanakan pembangunan demi kebajikan penduduk setelah menerima pelantikan semula sebagai pemimpin masyarakat bagi penggal 2025 hingga 2027.
Ketua Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, Norzam Mohd. Amin berkata, beliau telah memasuki penggal ketiga pentadbiran selepas mula dilantik pada 2021 dan kini meneruskan misi memajukan kampung secara menyeluruh.
Beliau berkata, antara fokus utama adalah menjadikan kampung berlatarbelakangkan Gunung Lambak sebagai destinasi pelancongan tempatan yang menampilkan keunikan budaya dan keindahan semula jadi.
“Cadangan kami ialah membina sebuah dewan yang berfungsi sebagai Rumah Tamu. Ia akan menjadi lokasi sambutan pelancong, dengan pameran kebudayaan negeri Johor dan persembahan tradisional untuk memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung,” katanya pada majlis bertemu penduduk di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, di sini hari ini.
Norzam turut memaklumkan bahawa kampung itu dirancang sebagai kawasan pertanian melalui usaha menghidupkan semula tanah terbiar serta membangunkan industri kecil sederhana (IKS) yang dapat digabungkan dengan sektor pelancongan desa.
Beliau berharap kampung berkenaan terpilih sebagai salah satu Kampung Angkat Madani (KAM) bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan secara sistematik.
Sementara itu, Ketua Kampung Sembrong, Mohammad Nazreel Jamil pula menegaskan fokus utama pentadbirannya adalah menyelesaikan isu banjir yang kerap berlaku di Jalan Batu Pahat-Mersing setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada penduduk Kampung Sembrong dan taman perumahan berhampiran.
“Langkah segera ialah memastikan sistem longkang diselenggara supaya air dapat dialirkan terus ke Sungai Sembrong Kiri tanpa halangan,” katanya.
Selain itu, beliau turut merancang penambahbaikan kemudahan infrastruktur seperti pemasangan lampu jalan, pembinaan balai raya, tanah perkuburan serta dewan serbaguna bagi meningkatkan keselesaan penduduk. – UTUSAN