Skuad bola sepak negara sah akan menyertai CAFA pada September depan. Foto Malaysia NT
SKUAD Harimau Malaya berpeluang mengasah taring serta menimba pengalaman berharga apabila disahkan bakal menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) yang dijadual berlangsung pada September ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menyifatkan penyertaan Malaysia dalam kejohanan itu bukan sahaja satu penghormatan, malah menjadi platform penting untuk pasukan negara melangkah ke tahap lebih tinggi di persada antarabangsa.
“Kami berbangga untuk menyertai Kejohanan CAFA 2025. Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kejohanan itu akan menguji ketahanan fizikal dan mental barisan Harimau Malaya dalam pelbagai aspek, sekali gus memberi impak besar kepada pembangunan berterusan skuad kebangsaan.
“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, di dalam dan di luar padang, dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan.
“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia,” katanya.
Kejohanan edisi kali ini dijangka menghimpunkan lapan pasukan ternama Asia Tengah, termasuk juara bertahan Iran yang kini menduduki ranking ke-18 dunia dan telah melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Turut dijangka mengambil bahagian ialah Uzbekistan, Oman, Tajikistan, Turkmenistan, Kyrgyzstan dan Afghanistan, sekali gus menjanjikan saingan kompetitif buat Harimau Malaya.
Untuk rekod, edisi sulung kejohanan tersebut telah dianjurkan pada Jun 2023 dengan objektif memperkukuh hubungan serta pembangunan bola sepak dalam kalangan negara anggota rantau Asia Tengah.