Pemergian Raja Nurfatimah beri kesan kepada insan seni – WHAM

Pemergian Raja Nurfatimah beri kesan kepada insan seni – WHAM


affan.rostam@bh.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) menyifatkan pemergian Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar sebagai satu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan.

WHAM dalam satu kenyataan berkata, pemergian mengejut Allahyarham Raja Nurfatimah memberi kesan kepada insan seni yang pernah mendapat sentuhan profesional dan keprihatinannya.

Sepanjang lebih tiga dekad menabur bakti dalam bidang kewartawanan, Allahyarham yang juga Bendahari WHAM bukan sekadar pelapor berita, malah turut menjadi penggerak yang menyemarakkan dunia hiburan tanah air.

“Sentuhannya banyak membantu menaikkan nama-nama baharu dalam industri seni, terutama artis muda yang masih bertatih dan kemudiannya berjaya menempa nama besar hasil sokongan dan kepercayaan Raja Nurfatimah terhadap bakat mereka.

“Dikenali sebagai wartawan berdedikasi dan berjiwa halus, Allahyarham sentiasa menulis dengan prinsip etika yang tinggi dan kasih mendalam terhadap seni.

“Raja Nurfatimah menjadikan pena dan platform media sebagai wadah memperjuangkan kelangsungan industri hiburan tanah air, dengan pendekatan mendidik, menyokong dan menghargai karyawan seni dari semua lapisan,” menurut kenyataan itu.

WHAM menyifatkan hubungan akrab Allahyarham dengan seniman dan penggiat seni merentas generasi menjadikan dirinya figura dihormati, disayangi dan diyakini dalam kalangan rakan wartawan dan pemain industri.

“Sebagai Bendahari WHAM, Allahyarham turut berperanan penting dalam penganjuran pelbagai program kebajikan dan solidariti seni.

“Ini juga termasuk kempen bantuan kepada artis veteran serta program apresiasi buat penggiat seni tanah air,” katanya.

Sementara itu, Presiden WHAM, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan yang tidak mampu diganti.

“Pemergian Allahyarham Raja Nurfatimah terlalu mengejutkan kami semua, ia sangat tiba-tiba. Beliau tidak menunjukkan sebarang tanda sakit, malah sentiasa cergas dan aktif menyumbang idea sehingga ke penghujung hayatnya.

“Kali terakhir kami berjumpa pada 17 Jun lalu dalam majlis makan malam WHAM bersama pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di ibu negara.

“Beliau bukan sahaja bendahari yang sangat bertanggungjawab, malah sahabat seperjuangan saya sejak awal era 1990-an.

“Beliau sentiasa berada di sisi, bukan hanya ketika kami memerlukan, tetapi juga apabila orang lain memerlukan.

“Salah satu impian kami adalah untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama tahun ini, tetapi kekangan tugas menjadikan kami membuat keputusan menangguhkannya kepada 2026,” katanya.

Semalam, Raja Nurfatimah dilapor meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang, selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira jam 2 petang.

Pemergian Allahyarham yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan dan cukup dikenali dalam kalangan pengamal industri seni, mengejutkan keluarga dan kenalan.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, Kuala Terengganu jam 10 pagi tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top