Penyertaan wanita dalam kepimpinan badan sukan masih rendah – Hannah

Penyertaan wanita dalam kepimpinan badan sukan masih rendah – Hannah


SELURUH Asia Tenggara masih bergelut untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan badan-badan sukan, sekali gus menuntut tindakan lebih tegas dan berstrategi untuk memacu perubahan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, banyak persatuan sukan kebangsaan di Asia Tenggara berdepan kesukaran meningkatkan peranan wanita dalam kepimpinan, sekali gus memerlukan pelan tindakan yang jelas dan terikat masa untuk memastikan agenda kesaksamaan gender benar-benar tercapai.

“Data semasa menunjukkan wanita hanya mewakili kurang daripada 20 peratus jurulatih bertauliah di ASEAN, sekali gus menunjukkan betapa bidang kejurulatihan terus didominasi oleh lelaki.

“Ini berpunca daripada prejudis, ketiadaan contoh teladan dan peluang yang terhad untuk wanita. Sebagai langkah proaktif, persidangan ini mencadangkan supaya senarai jurulatih wanita peringkat kebangsaan diwujudkan dan diberi sokongan sewajarnya agar mereka berpeluang memajukan diri secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian ASEAN Conference on Gender Equity In Sports 2025 di sini pada Selasa.

Menurutnya, tema kepimpinan dan kejurulatihan diangkat sebagai dua elemen utama dalam usaha merombak budaya sukan di rantau ini menerusi persidangan tersebut.

“Persidangan kali ini turut mengulangi komitmen melaksanakan resolusi Persidangan Wanita ASEAN dalam Sukan 2023 yang dibentangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Sukan pada 2024.

“Ia juga menekankan bahawa stereotaip lapuk, seperti tanggapan bahawa wanita hanya sesuai berada di rumah, perlu dikikis dan digantikan dengan visi bahawa wanita berhak bercita-cita dan melakar kejayaan dalam sukan, akademik dan kepimpinan,” tegasnya.

Ujar Hannah, adalah amat penting untuk memastikan penyertaan yang seimbang dan saksama dalam sukan.

“Bagi mereka, kesaksamaan gender dalam sukan bukan hanya soal pingat, malah merangkumi soal akses, pengiktirafan dan maruah.

“Kanak-kanak perempuan dan wanita mesti diberi peluang yang setara untuk melibatkan diri, bersaing dan berkembang, sama ada di peringkat komuniti mahupun di pentas Olimpik,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, pelan tindakan nasional juga perlu merangkumi strategi media untuk menyerlahkan peranan dan kejayaan wanita dalam sukan, di samping menangani isu keselamatan dan kesejahteraan dalam sukan.

“Malaysia sendiri sudah ke hadapan dalam aspek ini menerusi pelancaran Kod Sukan Selamat pada 2023 yang memberi keutamaan kepada nilai hormat, maruah dan perlindungan daripada gangguan serta salah laku.

“Selain itu, negara ini turut berpandukan Wawasan Sukan Negara 2030 (VSN 2030), iaitu kerangka jangka panjang untuk membina ekosistem sukan yang lebih inklusif, selamat dan progresif,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top