am@hmetro.com.my
Nilai: Seorang lelaki menerima 400 jahitan di seluruh tubuh selepas ditetak sekumpulan suspek susulan pergaduhan di hadapan restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, susulan itu empat suspek ditahan namun tiada senjata dirampas.
“Setakat ini pihak kami sudah menahan empat suspek yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan sejak Ahad lalu dan semuanya direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Mereka ditahan di sekitar Nilai. Manakala mangsa yang ditetak turut ditahan kerana disyaki merusuh dan direman selama dua hari, namun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya tadi.
Jelas beliau, mangsa memaklumkan menerima kira-kira 400 jahitan di seluruh badan akibat ditetak menggunakan parang dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu.
“Mangsa lelaki warga tempatan berusia 30-an hanya dibenarkan reman selama dua hari kerana keadaan kesihatannya,” katanya.
Abdul Malik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 326 dan seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an cedera di kepala dan kaki selepas diserang sekumpulan individu tidak dikenali dalam pergaduhan di lokasi terbabit.
Mangsa yang ditetak menggunakan senjata parang dan sebatang kayu dikejarkan ke hospital dalam keadaan berlumuran darah sebelum dimasukkan ke zon merah untuk rawatan segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd